Zulfakar, Presiden NUDIW dan Pengerusi CAMU kembali ke rahmatullah

Allahyarham Zulfakar Mohamed

KUALA LUMPUR: Presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Minuman Semenanjung Malaysia (NUDIW), Zulfakar Mohamed kembali ke rahmatullah petang tadi.

Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha NUDIW, S. Nadarajan kepada Workers Times.

“Saya diberitahu beliau telah meninggal dunia petang tadi di rumah beliau. Punca kematian belum tahu lagi. Saya tunggu maklumat lanjut,” kata beliau.

Zulfakar, 54, baru-baru ini dilantik sebagai Pengerusi Gabungan Membantah Kepelbagaian Kesatuan (CAMU), sebuah badan longgar yang dibentuk untuk menzahirkan bantahan ke atas Rang Undang-undang Kesatuan Sekerja 1959 (Pindaan) 2022.

Beliau mengeluarkan kenyataan pertama pada Ahad lepas.

Dalam pada itu, Anggota Majlis Am Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), A Sivananthan menyifatkan pemergian Zulfakar merupakan satu kehilangan besar kepada pergerakan kesatuan sekerja.

“Saya lama telah mengenali beliau. Beliau komited atas kepentingan pekerja, selalu mengutamakan hak dan faedah kepada pekerja dalam setiap proses perundingan bersama majikan.

“Pada pandangan saya, beliau merupakan seorang pemimpin yang selalu utamakan hak dan kebajikan pekerja. Sebab itu, beliau sedia menerima mandat untuk mengetuai CAMU,” kata beliau yang juga penasihat kepada NUDIW, yang turut menyifatkan Zulfakar merupakan pemimpin contoh kepada pergerakan kesatuan sekerja di Malaysia.