Zia Jia sah berundur, BAM umum keputusan esok

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan pemain perseorangan utama negara, Lee Zii Jia telah memutuskan untuk berundur sebagai pemain badan induk itu. Foto ihsan BADMINTON FOTO

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan pemain perseorangan utama negara, Lee Zii Jia telah memutuskan untuk berundur sebagai pemain badan induk itu selepas bersamanya selama satu dekad.

Presiden BAM, Tan Sri Mohd Norza Zakaria, pemain badminton berusia 23 tahun itu mengatakan bahawa tidak dapat berhadapan dengan tekanan.

BAM menerim surat daripada Zii Jia pada 11 Januari lalu.

Badan induk itu akan mengumumkan keputusannya esok.

Menurut Norza, pihaknya telah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pemain berkenaan dan keluarganya bagi memujuk untuk dia kekal bersama skuad kebangsaan apatah lagi selepas sudah bersama dengan BAM sejak usianya 13 tahun.

“Dia baru saja memenangi satu gelaran Seluruh England dan seharusnya dia kekal fokus dan kekal bersama BAM. Namun, dia mengatakan yang dirinya bukan Chong Wei dan tidak boleh tahan tekanan,” kata Norza sambil menambah bahawa “dia mahu mencapai apa yang dia inginkan dengan cara dia sendiri.”

“Kita hormati pandangan semua orang, namun kita adalah sebuah institusi dan sebab itu saya memanggil mesyuarat Ahli Majlis BAM pada 17 Januari untuk mendengar permasalahan yang kita hadapi ini kerana dia adalah aset utama kita,” tambah beliau.

Menurut laporan Astro Awani, sejak beberapa minggu lepas, timbul khabar angin yang mengatakan bahawa pemain nombor tujuh dunia itu akan keluar daripada BAM kerana memerlukan perubahan yang mampu mengembalikan semula rentak terbaiknya sebelum ini.

Spekulasi peletakan jawatannya juga hangat diperkatakan selepas ada dakwaan bahawa Zii Jia bakal menerima tawaran melibatkan penajaan sebanyak RM4 juta bagi membiayai perjalanan profesionalnya, jika meninggalkan BAM.

Pemain nombor tujuh dunia itu sebelum ini melakar sejarah tersendiri apabila muncul juara Kejohanan Seluruh England pada Mac 2021.

November lalu, Zii Jia, 23, mengakui sukar untuk dia mengikut jejak langkah Datuk Lee Chong Wei selepas sering kali dibandingkan dengan bekas pemain nombor satu dunia itu.

Katanya, pencapaian yang dilakar Chong Wei sepanjang kerjayanya adalah sesuatu yang luar biasa dan mustahil untuk dia menyamainya.

Mengulas lanjut, Norza berkata, beliau merasakan masalah Zii Jia bukan dengan BAM tetapi mungkin kerana dia melihat keutamaannya yang lain.

“Saya rasa masalah dia bukan dengan BAM kerana kalau kita lihat Chong Wei bersama BAM (selama) 19 tahun. Bila dia sampai kemuncak prestasi, BAM adalah tempat dia menjadi legenda.

“Tapi mungkin keutamaan Zii Jia lain. Apapun kita dengar dulu dan mungkin ada harga yang perlu dibayar selepas memilih untuk bergelar pemain bebas,” katanya/

Norza turut mengakui secara peribadinya beliau kecewa dengan keputusan Zii Jia, namun dalam masa yang sama BAM akan cuba fahami situasi pemain itu tanpa prejudis.

Zii Jia pula yang menggalas tugas selaku perseorangan pertama negara selepas Chong Wei bersara setakat ini berjaya meraih dua gelaran antarabangsa dengan menjuarai Terbuka Taiwan 2018 dan Seluruh England 2021.

Dia yang menghuni ranking nombor tujuh dunia ketika ini turut bergelar naib juara dalam saingan Masters Korea 2018 dan Terbuka Hylo 2021.