KUALA LUMPUR: Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi Program Latihan Kerjaya Hospitaliti YWP yang bakal memanfaatkan 2,000 warga belia dalam industri hospitaliti dan operasi darat sektor penerbangan.
Memorandum ditandatangani bersama DHS Hospitality Academy dan UPM Education & Training (UPMET) di Wisma YWP di sini.
Bagi pihak YWP, memorandum itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zaizalnizam Zainun manakala DHS Hospitality Academy oleh CEOnya, Dr S. Sri Kumar. Majlis memeterai disaksikan oleh Pengurus Besar UPMET, Dr Kamil Yusoff.
Ketika bercakap kepada pemberita pada sidang media, Zaizalnizam berkata, “seramai 2,000 warga belia, gelandangan, ibu tunggal, individu kurang upaya, individu warga emas dan mereka yang mempunyai sejarah kesalahan kecil dengan undang-undang dan golongan yang tercicir di Wilayah Persekutuan berpeluang mendapatkan sijil, latihan industri dan penempatan kerja melalui program ini.”
Katanya, objektif Program Latihan Kerjaya Hospitaliti YWP adalah untuk memberi peluang kepada penduduk di Wilayah Persekutuan mendapatkan pekerjaan dalam industri hospitaliti dan penerbangan, di samping mengurangkan penggajian pekerja asing dalam kedua-dua industri tersebut.
“Program bakal dilaksanakan oleh YWP melalui kerjasama dengan DHS Hospitality Academy sebagai rakan strategik UPM Education & Training,” kata beliau lagi.
“Ini merupakan hadiah sempena Hari Wilayah Persekutuan,” kata beliau.
Malah menurut beliau, antara syarat boleh menyertai program itu termasuklah para peserta harus merupakan warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, selain ibu bapa mereka terdiri daripada pengundi di Wilayah Persekutuan. Pendapatan berkapita keluarga peserta pula dalam lingkungan RM1,500.
“Sejak YWP ditubuhkan lebih 400,000 pelajar telah mendapat manfaat daripada program-program anjuran kami.
“Jadi, program yang diumumkan hari ini merupakan satu lagi aktiviti dalam bidang pendidikan dan pekerjaan yang akan memanfaatkan warga Wilayah Persekutuan,” katanya.
Katanya, program itu bertujuan memberi persediaan kepada pelajar dalam industri hospitaliti dan sektor penerbangan iaitu operasi darat.
Sepanjang tempoh latihan selama setahun, peserta akan didedahkan dengan pengalaman kerja sebenar yang diyakini lebih efektif, realistik dan praktikal.
“Bagi memulakan program ini, peserta hanya perlu membayar yuran komitmen sebanyak RM100 dan pihak YWP akan memberikan bantuan awal sebanyak RM500 secara one-off bergantung kepada kelayakan bagi menjelaskan yuran pendaftaran program,” tambah beliau.
Menurut Zaizalnizam, bagi peserta dari Labuan yang mengikuti kedua-kedua bidang ini, kos tiket penerbangan mereka akan dikembalikan sebaik sahaja mereka melengkapkan tempoh program.
Ketika ditanya sama ada Program Latihan Kerjaya Hospitaliti YWP akan diperluaskan meliputi sektor dan industri lain, beliau berkata, aspek itu dalam perancangan dan ia akan diperluaskan kelak.
Program Latihan Kerjaya Hospitaliti YWP akan melibatkan sesi teori selama 32 jam dan disusuli dengan latihan penempatan.
Para peserta yang mengikuti program itu akan diberikan elaun bulanan dan elaun produktiviti iaitu elaun bulanan RM600 untuk dua bulan pertama, elaun bulanan RM600 dan elaun produktviti RM250 untuk bulan ketiga hingga keenam, dan elaun bulanan RM750 dan elaun produktiviti RM250 untuk bulan ketujuh hingga ke-12.
Selepas tamat pengajian selama 12 bulan para peserta akan menerima insentif sebanyak RM600 daripada YWP dan pensijilan program yang akan dikeluarkan oleh UPMET.
Dalam pada itu, Sri Kumar berkata, DHS Hospitality Academy pernah menjadi perintis dalam menawarkan program penempatan hospitaliti kepada belia untuk program di Malaysia dan Singapura.
“DHS juga mempunyai 250 program berkaitan industri perhotelan melalui platform teknologi edu SKILLSPRO,” kata beliau.
Beliau menyifatkan Program Latihan Kerjaya Hospitaliti YWP sebagai “unik” yang akan memanfaatkan mereka yang meminati bidang hospitaliti.
“Kerjasama YWP dan UPM ini akan menawarkan peluang pekerjaan kepada anak tempatan, di samping membantu kerajaan menangani masalah kurang pekerja,” kata beliau lagi.
Menurut beliau, pihaknya mempunyai 250 kursus latihan untuk ditawarkan demi kepentingan komuniti dan negara.
Sementara itu, Kamil mengucapkan terima kasih atas langkah yang diambil oleh YWP dan DHS dalam meningkatkan kemahiran dalam kalangan mereka yang tidak memperoleh pendidikan formal.