KUALA LUMPUR: World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), yang telah menjadi pusat utama bagi industri acara perniagaan hampir empat dekad, kini sudah bersedia untuk menjadi ‘projek perintis’ dengan beroperasi bermula Oktober ini sekiranya kerajaan memberi peluang untuk berbuat demikian, kata Pengarah Eksekutif Kumpulannya, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim hari ini.
Beliau berkata, di peringkat permulaan pihaknya bersedia dengan kapasiti 50 peratus pengunjung.
Kata beliau, industri tersebut kini semakin tenat malah kerugian dianggarkan melebihi RM4.05 bilion sejak tahun lalu.
Menurut Irmohizam, pembukaan industri acara perlu dilihat sebagai acara perniagaan dan bukannya kategori sosial, perhimpunan orang ramai mahupun acara hiburan.
“WTCKL berbesar hati melaksanakan percubaan bagi pembukaan industri ini mengikut fasa bermula Oktober ini dengan permulaan seramai 50 peratus pengunjung,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Irmohizam menambah, bagi WTCKL sendiri, semua kakitangan telah lengkap divaksin dan syarikat tidak membuang pekerja biarpun terkesan teruk dengan masalah pandemik COVID-19 dan ekonomi.
“Seharusnya bidang acara perniagaan ini boleh dibuka dengan prosedur operasi standard (SOP) yang sama, bukan sahaja di sini malah bagi semua pemain industri acara,” kata beliau.
Malah menurut Irmohizam, mustahil untuk pemain industri dapat bertahan jika tidak dibuka sekarang dan sekiranya hanya dibenarkan beroperasi pada Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN), Irmohizam menyifatkan ia sudah pun terlambat.
“Penelitian bersama antara kerajaan dan pemain industri bidang acara adalah perlu sehingga industri ini dibuka segera sebelum terlambat,” kata beliau lagi.
Katanya, cadangan garis panduan seperti pematuhan SOP yang ketat, had kehadiran pengunjung bermula dengan 50 peratus, kawalan jarak pergerakan, memastikan sistem ventilasi yang diperiksa secara berkala, pengesanan kontak dan kebersihan persekitaran serta pengesahan pengunjung bebas jangkitan wajar diambil kira.
“Industri acara perniagaan ini adalah penyelamat dan kunci kepada negara bagi mengembalikan ekonomi Malaysia ke landasan yang betul,” ujarnya.,
Irmohizam menambah, persetujuan jenis dan kaedah menganjurkan acara berteraskan perniagaan boleh diperhalusi sebaik mungkin dalam masa terdekat.
“Alangkah baiknya jika perkara ini menjadi agenda teratas dalam senarai pencapaian 100 hari Perdana Menteri kita dalam usaha pembukaan Industri acara perniagaan.
“Ia bukan sahaja nyawa rakyat dapat diselamatkan malahan kesejahteraan hidup bersama dalam konteks Keluarga Malaysia dapat dikecapi serentak,” kata beliau lagi.