KUALA LUMPUR: Pilihan raya di negara ini akan mula menggunakan sistem berkaitan had usia kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik bermula Februari depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memastikan perkara membabitkan peraturan dan perundangan bagi pelaksanaan dua perkara itu selesai menjelang 31 Disember tahun ini, dan ia sedia digunakan awal tahun depan.
Katanya, SPR ketika ini sedang mempersiapkan pindaan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan berhubung usia kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik, seperti yang diluluskan Parlimen pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Parlimen Ke-14.
“Persiapan dilaksanakan SPR meliputi pindaan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan undang-undang lain yang berkaitan, penyediaan prosedur operasi standard (SOP), dan penyediaan sistem serta infrastruktur bagi melaksanakan kelayakan mengundi 18 tahun dan daftar pemilih automatik.
“SPR juga mengenal pasti beberapa tindakan yang perlu dilaksanakan sebelum pelaksanaan umur kelayakan mengundi 18 tahun dan daftar pemilih secara automatik.
“Antaranya ialah membuat semakan maklumat bakal pemilih, semakan di lapangan membabitkan bakal pengundi berusia 90 tahun dan ke atas, semakan di lapangan atas alamat untuk memastikan penentuan bahagian pilihan raya yang tepat.
“Selain itu, sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan, program pendidikan pengundi kepada bakal pemilih dan menyemak keperluan logistik bagi persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, di Dewan Rakyat, Wan Junaidi dilaporkan berkata, kerajaan tidak akan mengemukakan rayuan berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching yang memutuskan Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik perlu dilaksanakan menjelang 31 Disember tahun ini.
Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Persekutuan akan akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching dan merintis usaha terbaik bagi memastikan Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik di negara ini berupaya dilaksanakan lebih awal daripada jadual asal.
Mahkamah Tinggi Kuching membuat keputusan itu pada 3 September lalu, selepas Pesuruhjaya Kehakiman Alexander Siew How Wai membenarkan permohonan semakan kehakiman lima anak muda yang menggesa kerajaan melaksanakan segera pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan penurunan umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.
Beliau turut membenarkan permohonan kelima-lima anak muda untuk mendapatkan perintah ‘certiorari’ bagi membatalkan keputusan responden (Perdana Menteri ketika itu, kerajaan dan SPR) yang menangguhkan pelaksanaan Seksyen 3 berkenaan selepas September 2022.
Seksyen 3 menyatakan bahawa umur mengundi diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun dan membenarkan pendaftaran pengundi secara automatik bagi menggantikan sistem semasa yang menyaksikan rakyat Malaysia perlu memohon untuk mendaftar sebagai pengundi.
Alexander berkata, mahkamah turut mendapati bahawa adalah tidak masuk akal bermula dari 2019 hingga 10 Mac 2021, responden berulang kali menyatakan bahawa mereka di landasan yang betul untuk melaksanakan Seksyen 3 menjelang Julai 2021, namun dua minggu kemudian pada bulan sama, mendakwa bahawa pelaksanaannya hanya boleh dilakukan paling awal pada September 2022.