KUALA LUMPUR: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mahu polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tindakan beberapa individu yang cuba merasuah doktor untuk mendapatkan sijil digital lengkap vaksinasi COVID-19 tanpa disuntik vaksin berkenaan.
MMA juga mahu kedua-dua pihak berkuasa itu mewujudkan satu talian bebas untuk orang ramai membuat laporan berkaitan perkara itu.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Presiden MMA, Prof Datuk Dr. M. Subramaniam berkata, MMA amat bimbang dan mengambil serius laporan berkaitan isu berbangkit.
Kata beliau, mereka didapati terbabit dalam kegiatan itu perlu didakwa mengikut undang-undang antirasuah.
“Mereka yang didapat terlibat hendaklah didakwa mengikut undang-undang antirasuah. Kami menggesa PDRM dan SPRM supaya membuka talian khas untuk aduan kegiatan seumpama itu,” kata beliau.
Pada masa yang sama, MMA mengingatkan semua doktor mengenai tugas dan tanggungjawab untuk berpegang kepada etika tinggi sebagai pengamal perubatan.
Pada Rabu lalu, Presiden Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM), Dr Steven Chow berkata, beberapa ahli persekutuan itu mendakwa ditawarkan RM1,000 oleh beberapa individu untuk memalsukan sijil digital vaksin.
Steven berkata, tidak semua individu yang membuat tawaran itu adalah antivaksin berikutan terdapat segelintir yang perlu sijil berkenaan untuk melakukan perjalanan dalam tempoh segera.