KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progesif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau menegaskan empat kategori orang asing di Sabah memerlukan penyelesaian tuntas yang berbeza dan berasingan jika pihak berkuasa benar-benar bercadang untuk menyelesaikan isu kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI).
Kata beliau, UPKO akan terus mendesak supaya kad pengenalan Malaysia yang ada sekarang diganti dengan yang baharu supaya orang asing yang mendapat kad pengenalan yang meragukan dapat dikenal pasti dan diambil tindakan untuk penyelesaian tuntas.
“Dengan cara ini rekod kewarganegaraan Malaysia dapat dibersihkan supaya bermaruah dan berintegriti,” kata beliau dalam ucapannya melancarkan Mesyuarat Agung Tritahunan Cawangan-cawangan UPKO Bahagian Tuaran hari ini.
Menerangan isu itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata, sebenarnya kedudukan sosioekonomi Sabah pada hari ini adalah bukti kepada perubatan khianat, pembohongan dan tipu helah pemimpin-pemimpin politik yang membawa UMNO ke Sabah pada tahun 1991.
“Dalam hal demografi pengkhianatan tersebut telah menyebabkan pertambahan penduduk Sabah yang sangat luar biasa. Selain itu, kadar kemiskinan di Sabah juga telah melambung tinggi kerana pengkhianatan mengimport orang-orang miskin daripada negara jiran,” kata beliau.
Katanya, Singapura adalah di antara negara yang terkaya di rantau Asia sebab mereka mengimport orang-orang kaya, bijak pandai serta pelabur berwibawa ke negara mereka.
“Kepemimpinan Singapura mendahulukan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat sebaliknya pemimpin-pemimpin yang telah membawa UMNO ke Sabah mementingkan kuasa dan pangkat dan tidak langsung peduli hal kesejahteraan dan kemakmuran rakyat tempatan Sabah,” kata beliau.
Katanya, pada masa yang sama hak-hak rakyat tempatan Sabah di pedalaman tidak dipedulikan manakala prasarana sekolah daif, jalan-jalan raya dalam keadaan yang teruk, peluang-peluang pekerjaan untuk anak-anak tempatan tidak wujud dan pelbagai lagi keperluan.
Oleh itu kata beliau, rakyat Sabah harus bangkit dan kebangkitan rakyat ini bermula dengan kesedaran tentang kependudukan Sabah.
Kata beliau, kejanggalan pertumbuhan penduduk Sabah yang sangat luar biasa boleh dilihat dengan jelas apabila kita buat perbandingan dengan kadar pertumbuhan penduduk Sarawak pada tempoh yang sama.
Sebagai contoh, kata beliau, penduduk Sabah pada tahun 1961 hanyalah 454,561 orang tetapi meningkat kepada 1,736,902 orang pada tahun 1991 dan melonjak ke 3.8 Juta orang pada 2021 dengan kadar pertumbuhan sebanyak 843.6%.
“Sedangkan penduduk Sarawak pada tahun 1960 walaupun sudah ada 744,529 orang malah seawal 1991 pun penduduk Sabah sudah mengatasi penduduk Sarawak iaitu hanya 1,642,771 orang dan pada tahun 2021 penduduk Sarawak hanyalah 2.8 orang iaitu satu juta orang lebih sedikit berbanding Sabah. Pertanyaan kita ialah dari manakah datangnya satu juta penduduk Sabah itu?” kata beliau.
Madius menambah, perbuatan memanipulasi penduduk Sabah hanya kerana mahu mewujudkan pengundi simpanan tetap demi kuasa dan pangkat adalah satu pengkhianatan terhadap Sabah dan sesiapa yang terlibat dalam perbuatan terkutuk ini bukan saja tidak layak diangkat menjadi pemimpin, malah sepatutnya mereka ini dibawa ke muka pengadilan.
Tambah beliau, keadaan itu dengan jelas memberi asas yang sangat kukuh agar rakyat Sabah bangkit menuntut keadilan.
Oleh itu, kata beliau, perjuangan UPKO seterusnya ialah memastikan agar penyelesaian ke atas empat kategori PATI di Sabah akan dilaksanakan.
Empat kategori PATI ialah orang asing yang datang dan atau berada di Sabah tanpa dokumen perjalanan, mereka yang lari dari Filipina akibat perang saudara pada tahun 1970-an atau apa yang di panggil sebagai Pelarian Filipina dan kini memiliki dokumen IMM13, Kad Burung-burung atau Kad Banci; rakyat asing yang dilahirkan di Sabah oleh mereka yang tidak mempunyai dokumen kewarganegaraan sekali gus menjadi orang tanpa negara, dan orang asing yang mendapat dokumen kad pengenalan yang meragukan.
“Keempat-empat kategori orang asing di Sabah ini memerlukan penyelesaian tuntas yang berbeda dan berasingan. Sebagi contoh dalam kategori keempat iaitu PATI yang telah mendapat kad [engenalan secara meragukan.
“UPKO akan terus mendesak supaya kad pengenalan Malaysia yang ada sekarang diganti dengan yang baru supaya orang asing yang mendapat kad pengenalan yang meragukan dapat dikenal pasti dan diambil tindakan untuk penyelesaian tuntas. Dengan cara ini rekod kewarganegaraan Malaysia dapat dibersihkan supaya bermaruah dan berintegriti.
“Penyelesaian terhadap tiga lagi kategori yang lain adalah kompleks tetapi mesti dicari dan diselesaikan secara tuntas. UPKO senantiasa bekerja sama dengan mana-mana pihak untuk mencari penyelesaian terhadap masalah tiga kategori ini secara tuntas,” kata beliau lagi.