KUALA LUMPUR: RHB Bank Bhd (RHB Bank) mencatat keuntungan bersih sebanyak RM701.34 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2021, peningkatan sebanyak 75 peratus berbanding RM400.77 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Prestasi itu disumbangkan oleh kenaikan jumlah pendapatan selain penurunan perbelanjaan operasinya.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, bank itu berkata, tempoh suku sama pada tahun lalu telah dijejaskan oleh impak kerugian pengubahsuaian bersih.
Selain itu, perolehan hasil bagi suku kedua 2021 telah berkurangan kepada RM2.93 bilion berbanding RM3.26 bilion, sebelum ini.
Bagi separuh pertama 2021, keuntungan bersih RHB Bank mencecah RM1.35 bilion berbanding RM971.65 juta bagi suku sama 2020 manakala hasil berkurangan kepada RM5.83 bilion daripada RM6.47 bilion sebelum ini.
“Prestasi kewangan kumpulan bagi tempoh separuh pertama tahun ini jelas memaparkan daya tahan kami untuk terus mencatat pertumbuhan selain menggambarkan kekukuhan asas-asas kami. Ini termasuk kemampuan mengekalkan modal dan kedudukan mudah tunai yang kukuh biarpun dalam persekitaran operasi yang mencabar,” katanya.
RHB Bank turut mengumumkan dividen interim 15 sen sesaham atau menyamai nisbah pembayaran sebanyak 45.1 peratus.