UNI-MLC: Syabas Malaysia baiki kedudukan dalam Laporan Pemerdagangan Orang

Kenyataan Kementerian Dalam Negeri mengenai peningkatan kedudukan Malaysia, yang telah dinaik taraf ke Tahap 2 dalam Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) Mengenai Pemerdagangan Orang tahun 2024.

Oleh Datuk Mohamed Shafie BP Mammal

PANDANGAN: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menzahirkan penghargaan ke atas peningkatan kedudukan Malaysia, yang telah dinaik taraf ke Tahap 2 dalam Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) Mengenai Pemerdagangan Orang tahun 2024, yang diumumkan baru-baru ini.

Sehubungan dengan itu, UNI-MLC mengucapkan tahniah dan syabas atas pencapaian positif kedudukan Malaysia.

Laporan itu turut menggariskan 16 perkara penambahbaikan dan pelan tindakan yang boleh dilaksanakan oleh Malaysia untuk penilaian tahun berikutnya iaitu mulai 1 April 2024 hingga 31 Mac 2025.

Berdasarkan kenyataan dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam, peningkatan itu strategik dan signifikan kerana Malaysia sebelum ini dinilai pada Tahap 3 Pemerhatian pada 2023 dan kali terakhir berada di Tahap 2 adalah pada tahun 2017.

UNI-MLC berpandangan bahawa pencapaian ini adalah hasil usaha membina pelbagai pihak berkepentingan termasuk Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dan usaha yang telah diperlihatkan oleh Menteri Sumber Manusia, Stevan Sim, yang telah memberikan komitmen yang bermakna dan berterusan dalam menjayakan agenda membanteras pemerdagangan orang di Malaysia.

Peningkatan kedudukan Malaysia tidak datang dengan mudah.

Kedua-dua KDN dan Kesuma telah memainkan peranan yang cukup penting, bermakna dan konsisten dalam membawa penambahbaikan dalam isu yang diperkatakan ini. Misalya, pada tahun lalu, Kesuma sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Pemerdagangan Buruh telah mengatakan bahawa pihaknya akan bekerjasama rapat dengan KDN dan pihak-pihak berkepentingan lain dalam usaha membanteras jenayah pemerdagangan orang khususnya buruh paksa.

Apa yang penting, kedudukan Malaysia telah bertambah baik, yang pertama kali direkodkan selepas tujuh tahun.

UNI-MLC amat yakin bahawa usaha yang bersepadu dan menyeluruh akan diteruskan untuk membuktikan bahawa Malaysia tidak akan berkompromi dalam soal pemerdagangan orang.

Sebagai sebuah negara berdaulat Malaysia senantiasa mengambil tindakan-tindakan tegas lagi proaktif bagi memastikan isu pemerdagangan orang ditangani secara menyeluruh dan efektif.

UNI-MLC amat yakin dengan komitmen KDN dan Kesuma serta agensi-agensi lain yang berkaitan akan membawa rekod pencapaian yang lebih baik pada tahun-tahun mendatang.

Dalam hal ini, kerjasama semua pihak amatlah penting demi memastikan Malaysia bebas daripada jenayah pemerdagangan orang selaras dengan konvensyen-konvensyen antarabangsa yang diterima pakai oleh Malaysia, termasuk Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

UNI-MLC bersedia untuk berganding dan memberi kerjasama padu kepada KDN dan Kesuma dalam menangani isu pemerdagangan orang dan seterusnya memperbaiki kedudukan Malaysia melalui pendekatan menyeluruh.


Datuk Mohamed Shafie BP Mammal ialah Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC)