KUALA LUMPUR: Dilihat sebagai satu rekod bersejarah, AEON Co. (M) Bhd memberikan “pengiktirafan sukarela” ke atas penubuhan Kesatuan Pekerja-Pekerja AEON Co. (M) Bhd. tidak sampai sebulan selepas dikemukakan kepada majikan.
Surat pengiktirafan telah diserahkan oleh Ketua Pegawai Sumber Manusia, Sumber Manusia & Komunikasi Korporat AEON Co. (M) Berhad, Dr Kasuma Satria Mat Jadi kepada Presiden Kesatuan Pekerja Bersama AEON, Hamidah Mohamad di sini, semalam sempena Forum Buruh UNICOME.
Turut hadir pada majlis penyerahan itu, Timbalan Pengarah Urusan AEON Co. (M) Bhd, Seko Tsugutoshi dan Presiden UNI-MLC, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal.
Majlis penyerahan surat pengiktirafan turut disaksikan oleh Seko, Mohamed Shafie dan Pengurus Kanan Perhubungan Pekerja, Sumber Manusia AEON Co. (M) Bhd, Muhammad Azhani Ishak.
Bercakap kepada Workers Times, Mohamed Shafie berkata, perkembangan itu merupakan satu sejarah dalam landskap pergerakan kesatuan sekerja di Malaysia.
“Ini satu sejarah, tindakan yang diambil oleh AEON Co. (M) untuk mengiktiraf pembentukan Kesatuan Pekerja-Pekerja AEON Co. (M) Bhd. dalam tempoh tidak sampai satu bulan.
“Pendekatan seperti ini yang kita mahu. Bukannya mempertikaikan kelayakan pembentukan kesatuan, membawa pertikaian ke mahkamah, melengah-lengahkan usaha penubuhan kesatuan sekerja,” kata beliau.
Menurut Mohamed Shafie, pengiktirafan itu diperoleh dalam tempoh 20 hari; satu perkembangan yang jarang disaksikan.
“Pendekatan seperti ini jarang berlaku. Saya mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada kedua-dua kepimpinan kesatuan sekerja dan AEON Co. (M) Bhd dalam hal ini,” kata beliau.
Di bawah Akta Perhubungan Perusahaan 1967, usaha penubuhan kesatuan sekerja perlu memperoleh sokongan 50 + 1 peratus pekerja di sesebuah organisasi untuk mendapatkan pengiktirafan pihak majikan.
Dalam kebanyakan kes, ia akan berakhir dengan tindakan majikan membawa ke mahkamah untuk mendapatkan pengesahan.
Mohamed Shafie juga mengucapkan tahniah kepada kesatuan atas perjuangan dan kerja keras mereka untuk mendapatkan majoriti dan akhirnya mendapat pengiktirafan sukarela daripada syarikat.
“Dengan pengiktirafan ini, Kesatuan Pekerja AEON Co. akan menjadi yang terbesar kesatuan sektor perdagangan di Malaysia,” kata beliau yang berharap dengan falsafah perkongsian pintar, perjanjian kolektif pertama akan dimuktamadkan secepat mungkin dan akan memanfaatkan kira-kira 6,000 pekerja di 42 gedung di seluruh negara.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Seko, pasukan pengurusan AEON, UNI APRO, UA Zensen Japan dan Persekutuan Kesatuan Sekerja Kumpulan AEON.