KUALA LUMPUR: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menyambut baik saranan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah baru-baru ini yang menasihatkan majikan agar menitikberatkan aspek pengudaraan di tempat kerja bagi membendung penularan virus COVID-19.
Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, langkah itu mengambil kira kepentingan dan kebajikan setiap individu yang berada di tempat terutama para pekerja.
“UNI-MLC mengalu-alukan ketegasan yang dizahirkan oleh Tan Sri Dr Noor Hisham kerana UNI-MLC juga ada menerima maklumat dan aduan bahawa kebanyakan tempat kerja tidak berada dalam persekitaran yang kondusif untuk para pekerja, yang tidak memenuhi keperluan standard antarabangsa,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Kata Shafie, UNI-MLC juga bersetuju dengan pandangan Ketua Pengarah Kesihatan bahawa aspek pengudaraan di semua jenis bangunan seperti tempat kerja, premis perniagaan, institusi pengajian, rumah ibadah, termasuk juga kediaman adalah antara perkara penting yang perlu dilihat sebagai salah satu strategi bagi mencapai hasrat kerajaan dalam memerangi COVID-19.
Katanya, berdasarkan standard Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Buruh Sedunia (ILO), tidak dapat dinafikan bahawa premis atau bangunan yang mempunyai pengudaraan secara semula jadi mempunyai risiko yang rendah dalam penularan penyakit COVID-19 serta penyakit bawaan udara.
Tambah beliau, UNI-MLC berpandangan bahawa pandemik COVID-19 sejak 20 bulan yang lalu telah meninggalkan satu pengajaran penting tentang kepentingan persekitaran yang berkualiti di tempat kerja.
Malah tegas beliau, meskipun Malaysia mempunyai Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan Akta Keselamatan Sosial (Perkeso) 1966, sudah tiba masa bagi Kerajaan menyediakan peruntukan yang lebih tegas seiring dengan impak yang diakibatkan oleh pandemik COVID-19.
“Ini termasuk aspek yang berkaitan sistem pengudaraan dan nisbah ruang yang sesuai untuk setiap pekerja,” kata beliau.
Oleh kerana pandemik COVID-19 bakal berupa wajah menjadi “endemik”, kata Shafie, Kementerian Sumber Manusia wajar mengambil langkah segera untuk meminda kedua-dua akta tersebut, sekali gus menyediakan peruntukan mandatori keselamatan dan kesihatan yang lebih kondusif dan lebih baik mengikut standard yang telah ditetapkan oleh WHO dan ILO.
Katanya, UNI-MLC juga berharap Jabatan Tenaga Kerja dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NISOH), dua entiti di bawah Kementerian Sumber Manusia, juga akan mempertingkatkan tinjauan, lawatan dan pemeriksaan dengan lebih kerap ke premis-premis kerja bagi memastikan setiap premis mengambil tindakan menyediakan tempat kerja yang lebih kondusif.
“Tinjauan dan pemeriksaan ini bukan bertujuan mengenakan penalti atau denda semata-mata, tetapi perlu dalam bentuk mendidik dan membimbing para majikan tentang kepentingan menyediakan sistem pengudaraan lebih baik.”
Katanya, setiap majikan perlu menerima hakikat bahawa penyediaan ruang kerja yang baik demi memelihara kebajikan para pekerja juga merupakan satu bentuk pelaburan jangka panjang, sekali gus akan memanfaatkan pertumbuhan syarikat
Pada Rabu lalu, Noor Hisham berkata, majikan perlu menitikberatkan aspek pengudaraan di tempat kerja bagi membendung penularan virus COVID-19 di bangunan masing-masing.
Katanya, pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial dari semasa ke semasa adalah satu petanda yang positif, tetapi kerajaan menekankan supaya ia dilaksanakan secara terancang bagi membendung penularan COVID-19.
Beliau juga berkata, aspek pengudaraan di semua jenis bangunan seperti tempat kerja, premis perniagaan, institusi pengajian, rumah ibadah, termasuk juga kediaman adalah antara perkara penting yang perlu dilihat sebagai salah satu strategi bagi mencapai hasrat kerajaan.
“Secara umumnya, terdapat tiga jenis pengudaraan yang terdapat di bangunan termasuk premis perniagaan dan ruangan tempat kerja, iaitu pengudaraan secara semula jadi; sistem penyaman udara tanpa pengudaraan mekanikal (sistem penyaman udara tidak berpusat) dan sistem penyaman udara dengan pengudaraan mekanikal (sistem penyaman udara berpusat),” katanya.
Noor Hisham berkata bangunan yang mempunyai pengudaraan secara semula jadi mempunyai risiko yang rendah dalam penularan penyakit COVID-19 serta penyakit bawaan udara.