Oleh Datuk Mohamed Shafie BP Mammal
PANDANGAN: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menyambut baik pembentangan Rang Undang-undang Akta Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2024, bacaan kali pertama, di Dewan Rakyat semalam.
UNI-MLC melihat langkah Menteri Sumber Manusia, Steven Sim membawa RUU ini ke Parlimen merupakan satu perkembangan yang amat membina, signifikan dan progresif dalam memartabatkan pekerja-pekerja di Sabah.
Banyak perkara yang boleh menambah baik hak dan kepentingan pekerja-pekerja di Sabah telah digariskan Rang Undang-undang Akta Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2024. Antaranya, liputan pemakaian akta ini ke atas pekerja bergaji RM2,500 ke bawah kepada semua pekerja tanpa mengira had gaji atau jenis pekerjaan, tempoh cuti bersalin telah dinaikkan daripada 60 hari kepada 98 hari, pengenalan cuti paterniti selama tujuh hari dan waktu bekerja 45 jam seminggu dan peruntukan baharu berkaitan kerja anjal atau fleksibel. Perkara-perkara itu juga selari dengan pindaan Akta Kerja 1955, yang telah dikuatkuasakan sejak awal tahun lalu.
Sebenarnya pindaan ini telah lama ditunggu dan telah lama dituntut oleh UNI-MLC.
Malah, keperluan ini telah dimasukkan dalam Perutusan Hari Pekerja UNI-MLC baru-baru ini. UNI-MLC yang dianggotai oleh lebih 100 kesatuan sekerja dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak senantiasa berpegang pada pendirian bahawa setiap pekerja, tidak kira gender, kawasan dan wilayah, wajar dan harus menikmati liputan yang sama rata dan saksama setiap masa dan sepanjang masa.
Justeru itu, UNI-MLC melihat kita telah memasuki era baharu yang boleh menyumbang ke arah mmemanfaatkan pekerja-pekerja di Sabah, dan membawa liputan yang sama rata sebagaimana dinikmati oleh pekerja-pekerja di Semenanjung Malaysia.
Sebagai sebuah negara yang berdaulat dan selari dengan semangat Perlembagaan Persekutuan, penguatkuasaan pindaan Akta Ordinan Buruh Sabah sudah pasti akan menggembirakan semua pihak terutama para pekerja.
UNI-MLC berharap peruntukan baharu ini akan dikuatkuasakan dengan segera supaya manfaat yang disasarkan dapat dicapai.
UNI-MLC mengucapkan penghargaan dan syabas kepada Menteri Sumber Manusia dan Kementerian Sumber Manusia kerana telah menggerak dan mempercepatkan pindaan yang sangat diharapkan.
Nota: Datuk Mohamed Shafie BP Mammal ialah Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC)