KUALA LUMPUR: Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal menyambut cadangan kerajaan yang mahu menyediakan perlindungan keselamatan sosial, yang dijangka akan memanfaatkan dua juta suri rumah golongan B40.
Sehubungan dengan itu kata Shafie, keputusan tersebut merupakan satu langkah yang positif kerana dapat membantu golongan yang memerlukan.
Malah beliau berharap keputusan itu dapat dilaksanakan dengan secepat yang mungkin.
“Saya berharap kerajaan tidak akan mengambil tempoh yang lama untuk melaksanakan skim ini,” kata beliau kepada Workers Times hari ini dan menambah, “golongan ini amat memerlukan bantuan dan sokongan dari segi perlindungan sosial.”
Semalam, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan memberitahu media bahawa cadangan tersebut akan dibawa ke Kabinet tidak lama lagi.
Kata Saravanan, cadangan yang melibatkan kira-kira dua juta suri rumah itu dilihat perlu bagi melindungi kumpulan tersebut yang turut terjejas akibat pandemik Covid-19, terutamanya jika suami sebagai pencari nafkah tidak dapat keluar bekerja.
Bagaimanapun menurut beliau, usaha tersebut yang melibatkan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan bergantung kepada kedudukan kewangan kerajaan.
“(Pelaksanaan) ini bergantung pada kedudukan kewangan kerajaan,” kata beliau.
Mengulas lanjut, Mohamed Shafie berkata, mekanisme pelaksaaan skim tersebut perlu diperhalusi dengan mendalam supaya golongan yang disasarkan akan benar-benar mendapat hasil dan manfaat.
Selain itu kata beliau, tafsiran dan skop pelaksanaan juga perlu jelas supaya golongan sasaran akan mendapatkan gambaran baik, sekali gus menikmati segala faedah dan manfaat yang bakal ditetapkan.
“Biar kita benar-benar jelaskan tatacara dan mekanisme termasuk definisi lokasi perlindungan, memandangkan suri rumah bekerja dari rumah… jadi kita perlu jelaskan definisi dengan baik dan jelas,” kata beliau lagi.