UNI-MLC sambut baik pelarasan gaji sektor awam, rayu PM selesai isu pencen rendah pesara GLC

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelarasan gaji penjawat awam antara 7 hingga 15 peratus, semalam. – Foto ihsan FB Pejabat Perdana Menteri

Oleh Datuk Mohamed Shafie BP Mammal

PANDANGAN: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) mengucapkan tahniah dan syabas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan perpaduan atas pengumuman pelarasan gaji kepada 1.6 juta penjawat awam semalam, yang akan dikuatkuasakan secara berperingkat mulai Disember ini dan Januari 2026.

Perdana Menteri juga mengumumkan akan perubahan dalam kadar bayaran pencen susulan pelarasan ini yang merupakan satu berita baik bagi kakitangan awam selepas kali terakhir dilaksanakan 13 tahun yang lalu.

UNI-MLC juga menyambut saranan Perdana Menteri, dan juga Menteri Sumber Manusia, Steven Sim agar sektor swasta mengambil langkah yang sama demi kebajikan pekerja masing-masing. Memandangkan gaji merupakan satu komponen penting dalam kehidupan kerja setiap pekerja, di semua peringkat dan sektor, kadar upah dan gaji yang sesuai dan sewajarnya mengikut perkembangan semasa dilaksanakan demi kepentingan kesemua penting.

UNI-MLC sektor swasta akan mengambil maklum akan nasihat kedua-dua Perdana Menteri dan Menteri Sumber Manusia. Semua sedia maklum bahawa majoriti pekerja sektor swasta tidak dan belum menikmati pelarasan gaji sejak selepas pandemik COVID-19. Kebanyakan majikan menggunakan pelbagai alasan untuk tidak berbuat demikian.

Oleh itu, kami melihat sudah sampai masanya pihak sektor swasta akan melakukan tindakan konstruktif untuk memastikan adanya kenaikan dan pelarasan gaji untuk pekerja masing-masing. Langkah itu sudah pasti akan menaikkan semangat untuk para pekerja untuk bekerja dengan lebih baik, seterusnya menyumbang kepada peningkatan produktiviti.

Menyentuh mengenai kadar pencen, UNI-MLC juga berharap kerajaan perpaduan pimpinan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, akan tampil untuk menyelesaikan isu pencen sangat rendah yang diterima oleh pesara-pesara GLC yang telah diswastakan pada tahun 1980-an.

UNI-MLC telah mengetengahkan isu ini kepada Kerajaan sejak dua dekad yang lalu, tetapi sehingga kini tidak ada penyelesaian positif bagi menanganinya.

Untuk rekod, setakat ini, UNI-MLC telah membawa perkara ini untuk perhatian lima orang Perdana Menteri tetapi masih belum ada jalan penyelesaian. Walaupun memorandum demi memorandum telah dihantar kepada Kerajaan, namun tiada respons daripada Kerajaan mahupun Kementerian Kewangan.

UNI-MLC agak kecewa kerana perkara ini tidak menemui jalan penyelesaian meskipun pelbagai usaha telah dilakukan termasuk membawa ke perhatian ramai Perdana Menteri dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Memandangkan pelarasan gaji telah diumumkan semalam, sehubungan dengan itu, UNI-MLC meletakkan harapan agar Perdana Menteri akan mengambil satu pendekatan positif dan konkrit bagi menyelesaikan isu kadar pencen rendah yang kini diterima oleh pesara-pesara agensi kerajaan yang diswastakan.

UNI-MLC berpandangan pesara-pesara seolah-olah sedang dianaktirikan dan tidak diberikan perhatian yang sewajarnya dalam menjaga kebajikan sedangkan mereka juga telah banyak menyumbang kepada negara selaku modal insan penting dalam proses pembinaan negara.

Pesara-pesara yang menerima pencen rendah dengan kenaikan dua peratus setiap tahun kini hidup di bawah paras kemiskinan. Bayaran pencen rendah yang diterima adalah satu daripada masalah sosial dan ekonomi. Rata-rata pesara perkhidmatan GLC menerima pencen serendah RM180 sebulan.

Keadaan menjadi lebih parah dan teruk dengan kenaikan kos sara hidup sejak kebelakangan ini. Pesara-pesara terbabit kini tergolong dalam kategori B40.

UNI-MLC merayu Kerajaan semasa pimpinan Anwar Ibrahim akan melihat perkara ini dalam pelaksanaan pelarasan gaji kali ini, sekali gus membawa penyelesaian positif selaras dengan dasar Malaysia Madani.

Datuk Mohamed Shafie BP Mammal ialah Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC)