Oleh Datuk Mohamed Shafie BP Mammal
PANDANGAN: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menyambut baik pengumuman kenaikan kadar gaji minimum sebanyak RM200 berbanding kadar semasa RM1,500 sebulan sebagaimana diumumkan oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menerusi Ucapan Belanjawan 2025, yang diumumkan semalam.
Jumlah kenaikan itu mencerminkan usaha kerajaan yang terus dan senantiasa menitikberatkan aspek pendapatan rakyat, yang menjadi tunjang ke arah kehidupan lebih baik lagi berkualiti.
UNI-MLC berpandangan bahawa kenaikan sebanyak RM200 juga patut disambut dengan baik oleh majikan dalam meningkatkan martabat pekerja. Ini kerana kita perlu mengambil pendekatan harmoni dan sejahtera dalam terus membaiki taraf hidup pekerja yang merupakan anggota penting dalam ekosistem negara.
Kita faham hakikat bahawa majikan menjalankan perniagaan demi keuntungan, tetapi pada masa yang sama pihak majikan harus berkongsi sebahagian keuntungan bersama pekerja masing-masing.
Prinsip dan semangat ini harus dicerminkan dengan merealisasikan gaji minimum terbaharu yang diumumkan menerusi Belanjawan 2025. UNI-MLC menggalakkan jika majikan bersedia untuk menawarkan gaji lebih baik berbanding gaji minimum RM1,700 yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Februari 2025.
UNI-MLC yakin bahawa sebagaimana disebutkan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim penstrukturan ekonomi hanya akan dianggap berjaya apabila rakyat meraih gaji dan upah yang bermakna untuk menjalani hidup dengan lebih selesa. Oleh itu pendekatan penguatkuasaan juga akan dipertingkatkan bagi menjamin keberkesanan pelaksanaan dasar terbaharu gaji minimum.
UNI-MLC juga menyambut pengumuman bahawa Kementerian Sumber Manusia juga akan menerbitkan garis panduan gaji permulaan bagi semua sektor pekerjaan untuk rujukan pekerja. Ia memperlihatkan pendekatan kepimpinan Kementerian Sumber Manusia di bawah Steven Sim.
Secara keseluruhannya UNI-MLC menyambut insentif-insentif yang diumumkan oleh Kerajaan bagi pekerja sektor awam dan sektor swasta. Semoga ia akan membawa manfaat menyeluruh menjelang negara mencapai taraf negara berpendapatan tinggi.
Datuk Mohamed Shafie BP Mammal ialah Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC)