KUALA LUMPUR: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) Sabah mendesak supaya kerajaan mempercepatkan pindaan Ordinan Buruh negeri itu.
Pengerusi Perhubungan UNI-MLC Sabah, Jumadi Kastari berkata, pindaan Ordinan Buruh Sabah telah lama berlarutan sekali gus “ianya menjadi bualan, rungutan, isu dan sebagainya.”
Kata beliau, kerajaan negeri Sabah telah meluluskan cadangan penubuhan Majlis Penasihat Buruh Sabah pada 14 Jun 2023, seterusnya mengiktiraf majlis itu yang dianggotai oleh KSTSI, Timbalan Menteri Kementerian Sumber Manusia dan masing-masing 16 wakil kerajaan, majkan dan pekerja, selin ahli-ahli akedemik, pertubuhan bukan kerajaan, Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Pembangunan Sumber Manusia.
“Untuk makluman, Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Pembangunan Sumber Manusia adalah uru setia Majlis Penasihat Buruh Sabah,” kata beliau dalam satu kenyataan media hari ini.
Kata beliau, pindaan Akta Kerja 1955 telah diluluskan dan telah berkuat kuasa pada 1 Januari 2023, dan susulan itu pindaan Ordinan Buruh Sabah perlu disegerakan.
“Kesatuan Gabungan UNI-MLC Sabah menyokong penuh kenyataan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Nor semasa sambutan Hari Pekerja Peringkat Negeri Sabah 2024 serta Mantan Timbalan Menteri Sumber Manusia yang sekarang ini menyandang jawatan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud dalam kenyataan akbar Harian Express pada 23 Jun lalu yang menekankan dan mendesak supaya pindaan Ordinan Buruh Sabah (SLO) segera dilakukan.
“UNI-MLC Sabah mendesak kerajaan supaya mempercepatkan pindaan ini demi kesejahteraan warga kerja negeri Sabah,” kata beliau.