UNI-MLC rayu PM Ismail Sabri ‘selesai isu pencen teramat rendah lebih 200,000 pesara GLC’

Presiden UNI-MLC, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal.

KUALA LUMPUR: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) hari ini merayu kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob atas semangat “Keluarga Malaysia” menyelesaikan isu pencen teramat rendah melibatkan lebih 200,000 pesara Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang sudah berlarutan lebih 20 tahun.

Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, UNI-MLC memohon dan merayu kepada Kerajaan agar memberi perhatian yang khusus dalam isu ini dan membantu mereka yang masih menerima pencen di bawah paras kemiskinan.

“UNI-MLC berharap perkara ini akan diambil kira oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kajian semula pencen pesara kalangan B40 yang diumumkan oleh Kerajaan pada 30 September 2021 lalu,” kata beliau.

Kata beliau, kadar pencen mereka perlu diselaraskan sehingga kadar minimum sebanyak RM1,000.

Beliau menyatakan demikian dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini mengulas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (TugasTugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad mengumumkan bahawa JPA sedang meneliti kaedah menambah baik bayaran pencen kepada pesara kerajaan, khususnya bagi yang tergolong dalam kumpulan B40.

Menurut Latiff, kajian JPA itu antara lain bagi mengatasi isu pesara kerajaan yang terpaksa hidup dengan bayaran pencen dan pendapatan selepas bersara di bawah Had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) iaitu RM2,208.

Kata Shafie, sementara langkah yang diumumkan itu adalah baik, UNI-MLC berharap kajian tersebut tidak mengabaikan tuntutan yang telah dibuat UNI-MLC sejak lebih 20 tahun yang lalu yang melibatkan kakitangan awam yang telah disarakan apabila Kerajaan memperkenalkan Dasar Penswastaan tiga dekad yang lalu.

Katanya, bagi pekerja-pekerja yang disarakan di bawah skim Dasar Penswastaan dari tahun 1980-an/1990-an hingga 2012, pencen yang mereka terima pada hari ini tidak ada sebarang perubahan.

“Contohnya, jika mereka menerima pencen RM180 sebulan dan jumlah itu kekal sehingga 2012 tanpa sebarang perubahan,” kata beliau.

Menurut beliau, Kerajaan meluluskan kenaikan kadar pencen sebanyak 2% untuk semua pesara termasuk GLC pada tahun 2013.

“Jika diambil kira seseorang mendapat pencen sebanyak RM180 x 2%, pesara terbabit hanya menerima kenaikan pencen sebanyak RM3.60 sedangkan harga barang dan lain-lain keperluan melambung tinggi.

“Selama 31 tahun sehingga kini, pesara-pesara dari GLC hidup dalam sengsara dan terhimpit kerana menerima bayaran pencen di bawah paras kemiskinan, paras yang terlalu rendah,” kata beliau lagi.

Shafie menambah, memorandum demi memorandum telah dihantar kepada Kerajaan setiap tahun semasa perbincangan bajet.

“Malangnya tuntutan ini tidak mendapat perhatian Kerajaan dan tidak menemui jalan penyelesaian yang diharapkan sehingga kini,” kata beliau.

Sehubungan dengan itu tegas beliau, UNI-MLC mengharapkan satu penyelesaian positif dalam hal ini. Apa guna Kerajaan melaungkan untuk membantu warga emas sedangkan ia hanya satu polemik sehingga ke hari ini, kerana Kerajaan telah gagal untuk membantu dan meningkatkan taraf sara hidup pesarapesara GLC.

“Pekerja-pekerja GLC telah mengorbankan masa depan mereka dengan memilih untuk menyertai Skim GLC semata-mata untuk menyokong Dasar Penswastaan Kerajaan Malaysia ketika itu.”

Kataya, pada hari ini pesara-pesara GLC begitu kecewa dengan sikap dingin Kerajaan dalam perkara ini, yang mana telah memudaratkan kehidupan para pesara sehingga ada di antara mereka meminta bantuan dari Pusat Zakat.

“Ini sangat memalukan dan satu keadaan yang tidak wajar berlaku.

“Perdana Menteri demi Perdana Menteri telah berlaku. Sedihnya tidak ada penyelesaian.

“Jika Kerajaan tidak sedar dan tidak menghargai pesara-pesara yang telah menyokong Kerajaan, maka sia-sialah dan sering diminta menghantar cadangan semasa belanjawan setiap tahun,” katanya.

Kata Shafie, pesara-pesara yang telah disarakan dalam era penswastaan menghadapi tekanan hidup dan kecewa jika mereka memilih tidak menyertai skim penswastaan sudah tentu kadar bayaran pencen mereka tidak seperti hari ini.

“Kami memohon Kerajaan di bawah kepimpinan Ismail Sabri dan ahli-ahli Parlimen agar tolong memahami perkara ini kerana ada pesara disarakan atas skim kerajaan yang telah berkhidmat lebih daripada 25 tahun dan ada pesara disarakan di bawah skim penswastaan.

“Tolong memahami ada dua jenis skim pencen ini,” kata beliau.