Oleh Datuk Mohamed Shafie BP Mammal
PANDANGAN: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menyambut baik Rang Undang-undang Akta Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2024, bacaan kali kedua di Dewan Rakyat Selepas lepas, dan seterusnya telah diluluskan. Bacaan kali pertama telah dibuat pada 17 Julai lalu.
Langkah Menteri Sumber Manusia, Steven Sim membawa RUU ini ke Parlimen, dalam tempoh 10 bulan sejak mengetuai Kementerian Sumber Manusia, merupakan satu perkembangan yang amat membina, signifikan dan progresif dalam memartabatkan pekerja-pekerja di Sabah.
UNI-MLC mengucapkan penghargaan dan syabas kepada Menteri Sumber Manusia dan Kementerian Sumber Manusia kerana telah menggerak dan mempercepatkan pindaan yang sangat diharapkan.
Barisan kepimpinan UNI-MLC juga telah mengikuti hujah perbahasan ahli-ahli Dewan Rakyat. Hampir kesemua pandangan yang diketengahkan mempamerkan keperluan segera dan menyeluruh untuk menambah baik hak dan kepentingan pekerja-pekerja di Sabah, seperti di Semenanjung.
Pindaan yang diluluskan kal ini telah lama dinantikan dan telah lama dituntut oleh UNI-MLC. Malah, keperluan ini telah dimasukkan dalam Perutusan Hari Pekerja UNI-MLC pada Mei 2024. Syabas kepada Kementerian Sumber Manusia pimpinan YB Steven Sim.
UNI-MLC yang dianggotai oleh lebih 100 kesatuan sekerja dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak senantiasa berpegang pada pendirian bahawa setiap pekerja, tidak kira gender, kawasan dan wilayah, wajar dan harus menikmati liputan yang sama rata dan saksama setiap masa dan sepanjang masa.
Justeru itu, UNI-MLC melihat kita telah memasuki era baharu yang boleh menyumbang ke arah mmemanfaatkan pekerja-pekerja di Sabah, dan membawa liputan yang sama rata sebagaimana dinikmati oleh pekerja-pekerja di Semenanjung Malaysia.
Dengan pindaan itu, UNI-MLC melihat banyak peruntukan yang boleh menambah baik hak dan kepentingan pekerja-pekerja di Sabah. Antaranya termasuklah liputan pemakaian akta ini ke atas pekerja bergaji RM2,500 ke bawah kepada semua pekerja tanpa mengira had gaji atau jenis pekerjaan, tempoh cuti bersalin telah dinaikkan daripada 60 hari kepada 98 hari, pengenalan cuti paterniti selama tujuh hari dan waktu bekerja 45 jam seminggu dan peruntukan baharu berkaitan kerja anjal atau fleksibel. Perkara-perkara itu juga selari dengan pindaan Akta Kerja 1955, yang telah dikuatkuasakan sejak awal tahun lalu.
Sebagai sebuah negara yang berdaulat dan selari dengan semangat Perlembagaan Persekutuan, penguatkuasaan pindaan Akta Ordinan Buruh Sabah sudah pasti akan menggembirakan semua pihak terutama para pekerja.
UNI-MLC berharap peruntukan baharu ini, yang merupakan hadiah dan penghargaan bagi pekerja-pekerja di Sabah, akan dikuatkuasakan dengan segera, selepas diluluskan oleh Dewan Negara pada Disember ini, agar manfaat yang disasarkan dapat dicapai dan dinikmati secara menyeluruh dan holistik di Malaysia.
Nota: Datuk Mohamed Shafie BP Mammal Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC)