Oleh Mohamed Shafie BP Mammal
PANDANGAN: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) mengikuti dengan rapat pelbagai kenyataan dan pandangan yang dikeluarkan berkaitan cadangan penetapan gaji minimum RM1,500 yang diumumkan oleh Menteri Sumber Manusia awal bulan ini. Ada pandangan yang menyokong dan ada juga pandangan sebaliknya.
Dalam perkara ini, UNI-MLC tertarik dengan kenyataan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa kerajaan sedang melaksanakan sesi libat urus dengan majikan berhubung pelaksanaan gaji minimum RM1,500 bagi membolehkan ia dilaksanakan secara holistik. Perdana Menteri mendedahkan banyak syarikat dan juga majikan tidak bersetuju dengan kadar gaji minimum sekitar RM1,500. Antara lain kata beliau, “kita tidak lindungi majikan, kepentingan kita adalah pekerja…kalau pekerja dapat dinaikkan gaji minimum kepada RM1,500 memang itu yang terbaik.”
UNI-MLC kecewa kerana ada pandangan serong dari sesetengah pihak yang beranggapan bahawa kesatuan sekerja di Malaysia sengaja mendesak majikan supaya kenaikan gaji minimum dinaikkan sehingga mahu membebankan majikan, tidak kira swasta mahupun awam. Malah, tuntutan kesatuan sekerja dipandang hina dan dikecam teruk.
Bagaimanapun UNI-MLC terkilan kerana masih ada pihak yang melaung-laungkan Malaysia mahu menuju ke arah negara berpendapatan tinggi, tetapi para pekerja masih berada dalam lingkungan kadar kemiskinan. Kepentingan dan hak para pekerja tidak diambil peduli, dan sama sekali tidak diperjuangkan.
Kadar gaji minimum RM1,200 pada masa sekarang menunjukkan pekerja-pekerja di Malaysia berada dalam garis kemiskinan. Jadi kita perlu tanya, apakah kadar gaji minimum pada hari ini mencukupi? Sama ada kita suka atau tidak, kita kena mengakui bahawa majoriti pekerja yang menerima gaji minimum RM1,200 atau AS$300 berada dalam garis kemiskinan B40.
Apa gunanya kita ada slogan “kita akan membantu golongan B40”, “Keluarga Malaysia” dan “No One Left Behind” tetapi kita tidak mampu mengatasi dan menangai isu gaji minimum RM1,500 sebulan?
Pada masa yang sama, UNI-MLC juga terkilan dengan harga barangan yang melambung naik kebelakangan ini sehingga menambah derita ke atas para pekerja. Siapa yang menaikkan harga barang? Bukan Kerajaan, tetapi para peniaga. Kerajaan pula seolah-olah tiada kuasa kecuali dalam beberapa kategori barangan yang diletakkan sebagai barangan kawalan. Kuasa membeli para pekerja menjadi semakin kecil ketika harga barang naik secara mendadak.
Kerajaan seolah-olah lemah dan tidak boleh mengawal kenaikan harga barangan secara sewenang-wenangnya. Kita tidak menafikan bahawa turun naik harga barang ditentukan atau dipengaruhi oleh penawaran dan permintaan.
Kerajaan perlu memastikan bahawa harga barang dipantau dan dikuatkuasakan peraturan sepanjang masa supaya harga barang tidak mengalami kenaikan tanpa kawalan. Memandangkan Kerajaan tiada kuasa dalam menentukan harga barang, pekerja pula berhadapan dengan kesan buruk.
Bertolak dari itu, di manakah terletaknya tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat dan pihak majikan yang sepatutnya menjaga kepentingan dan kebajikan pekerja? Pasukan pengurusan tertinggi ditawarkan gaji dan kemudahan-kemudahan yang lebih baik berbanding kadar gaji pekerja-pekerja bawahan. Pekerja tidak mempertikaikan gaji lumayan kepada pengurusan. Dan, pada masa yang sama, pekerja juga tidak membuat tuntutan sewenang-wenangnya.
Malangnya, apabila kesatuan sekerja meminta supaya gaji minimum dinaikkan hanya RM300, pihak majikan meletakkan pelbagai hujah bahawa banyak syarikat akan ditutup, bakal muflis dan sebagainya. Sampai bilakah kita hendak menggunakan alasan ini?
Tiada pembaharuan atau pendekatan luar kotak di pihak majikan dalam menaikkan gaji para pekerja dan menambah baik kemudahan untuk pekerja.
UNI-MLC juga terkejut tidak banyak syarikat atau majikan yang sanggup mengamalkan pendekatan sukarela sebagaimana dipraktikkan oleh AEON Co. Malaysia, yang telah melaksanakan gaji minimum RM1,500 berkuat kuasa Januari 2022, iaitu lebih awal sebelum dikuatkuasakan oleh pihak Kerajaan. Syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) perlu mengambil tindakan rintis dengan melaksanakan gaji minimum RM1,500 dengan serta-merta.
UNI-MLC juga mahu sidang Parlimen yang akan bersidang mulai Isnin ini, 28 Februari 2022, membuat satu pendirian atau resolusi bersama, yang memihak kepada kepentingan pekerja, iaitu bersetuju menaikkan gaji minimum dan melaksanakan gaji minimum RM1,500. Sebagai badan yang anggotanya dipilih oleh rakyat, Parlimen merupakan tempat pekerja bergantung. Oleh itu, sidang Parlimen kali ini harus memutuskan ketetapan pelaksanaan gaji minimum RM1,500.
Harapan UNI-MLC, jangan memandang hina tuntutan kesatuan yang meminta agar gaji minimum ditetapkan pada kadar RM1,500, meskipun pada pandangan kami RM1,500 juga masih jauh lebih rendah dan kecil mengambil kira kos sara hidup dan kadar inflasi pada hari ini. Ingat, jika kita pandang hina tuntutan para pekerja, bermakna majikan hina diri sendiri.