UNI-MLC: Mansuh segera kerja lebih 3 jam di sektor awam, langkah terkebelakang

UNI-MLC memohon campur tangan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim membawa isu ini ke mesyuarat Jemaah Menteri, yang dijadual Jumaat ini. Foto ihsan Sinar Harian

Oleh Datuk Mohamed Shafie BP Mammal

PANDANGAN: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) dengan tegas meminta Kerajaan tidakĀ  mengambil sebarang tindakan yang bersifat terkebelakang dengan melanjutkan waktu kerja kakitangan kerajaan termasuk lebih 77,000 jururawat di seluruh negara.

Tatkala Kerajaan Madani mahu menitikberatkan kakitangan awam menerusi pengumuman Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) baru-baru ini, langkah melaksanakan tempoh waktu kerja iaitu tambahan tiga jam tidak wajar dilaksanakan sama sekali.

UNI-MLC berpendirian perkembangan ini bertentangan dengan hasrat Kerajaan yang sebelum ini mengatakan bahawa mahu menambah baik kualiti kehidupan pekerja.

Sementara banyak negara telah dan sedang mengkaji untuk membawa pendekatan yang lebih fleksibel dan harmoni dalam usaha menambah baik hak pekerja masing-masing dengan mengurangkan tempoh waktu kerja dan tempoh berada di pejabat, sebarang langkah mahu memanjangkan waktu kerja terutama di sektor kesihatan tidak wajar dipertimbangkan dan dilaksanakan.

UNI-MLC mahu Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Awam dengan segera menggugurkan langkah memperkenalkan waktu kerja 45 jam seminggu. Sebarang langkah ke arah itu juga bertentangan dengan trend global yang mengurangkan waktu bekerja kepada 40 jam seminggu, seperti yang dinyatakan dalam Konvensyen ILO 47 dan Konvensyen ILO 116.

UNI-MLC bimbang perkembangan terbaharu ini akan membawa kesan buruk atau impak ke atas pekerja, sekali gus dikhuatiri tidak akan membawa manfaat yang disasarkan oleh Kerajaan. Lebih-lebih lagi ketika pekerja-pekerja Malaysia turut berhadapan dengan isu tekanan dan kualiti kehidupan.

Oleh itu, UNI-MLC memohon campur tangan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim membawa isu ini ke mesyuarat Jemaah Menteri, yang dijadual Jumaat ini untuk mencari jalan penyelesaian terbaik iaitu menggugurkan keputusan lanjutan tempoh waktu kerja.

Sebaliknya Kerajaan harus mengkaji langkah-langkah lain termasuk menambah jumlah kakitangan awam sekiranya berhadapan dengan isu kekurangan tenaga kerja dalam menyediakan mutu perkhidmatan berkualiti kepada rakyat.

Datuk Mohamed Shafie BP Mammal ialah Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC)