KUALA LUMPUR: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menyambut baik ketegasan Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar yang memberi amaran kepada majikan-majikan yang memberhentikan pekerja tempatan selepas mendapat tenaga kerja asing yang diambil melalui pelan kelonggaran kuota.
Presiden UNI-MLC, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, kerajaan terutama Kementerian Sumber Manusia hendaklah berpendirian tegas dalam perkara ini.
Kata beliau, UNI-MLC juga ada menerima aduan mengenai pekerja-pekerja dibuang sebaik sahaja menerima kehadiran pekerja asing, dan perkara ini telah diadukan kepada Kementerian Sumber Manusia.
“Oleh yang demikian, pihak berkuasa tidak wajar bertoleransi dan berkompromi dalam perkara ini,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Kata beliau, sebagai sebuah negara yang memerlukan sumber tenaga kerja yang cukup dalam memenuhi keperluan dan cabaran pertumbuhan lestari, UNI-MLC menyambut dasar kerajaan membenarkan pengambilan pekerja-pekerja asing yang baharu di sektor-sektor yang kritikal.
“Malangnya, tindakan sesetengah majikan membuang dan menghentikan pekerja-pekerja tempatan, dan kembali kepada pekerja asing sepenuhnya, merupakan satu tindakan yang tidak wajar, tidak masuk akal dan tidak harus dipandang mudah.
“Malah, pada pandangan UNI-MLC, amalan sedemikian merupakan satu pendekatan tidak berperikemanusiaan,” katanya.
Semalam, Sivakumar berkata, kementeriannya akan membatalkan kelulusan kuota pekerja asing yang sudah diberikan kepada mana-mana majikan atau syarikat jika mereka didapati memberhentikan pekerja tempatan selepas mendapat tenaga kerja asing.
Kata beliau, majikan atau syarikat itu juga boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 bagi setiap kesalahan kerana bertentangan dengan Seksyen 60M Akta Kerja 1955.
“Saya ingin memberi peringatan tegas kepada majikan dan syarikat-syarikat tempatan bahawa kelulusan kuota dan kebenaran penggajian pekerja asing kepada mereka adalah bagi menampung kekurangan guna tenaga dan bukan sesekali dijadikan alasan bagi mengantikan pekerja tempatan sedia ada.
“Sejak kebelakangan ini, KSM telah menerima banyak aduan mengenai syarikat-syarikat tempatan yang sudah mendapat kelulusan kuota pekerja asing dan kemudiannya mengambil tindakan pemberhentian terhadap pekerja tempatan.
“Aduan terbaharu yang saya terima membabitkan pemberhentian 102 pekerja tempatan di Pulau Pinang,” kata beliau.
Sebelum ini, sebuah portal melaporkan, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengecam tindakan pengurusan syarikat pembuatan di Nilai, Negeri Sembilan, yang didakwa ‘menganaktirikan’ pekerja tempatan dengan menggajikan buruh asing untuk menggantikan mereka.
Shafie menambah, majikan-majikan yang tidak bertanggungjawab, yang hanya mengutamakan keuntungan diri tanpa mahu menjaga hak dan kebajikan pekerja-pekerja tempatan, harus dikenakan hukuman yang berat termasuk tidak membenarkan mereka mengambil pekerja asing sama sekali.
“Kelulusan yang diberikan kepada majikan terbabit wajar ditarik balik dan wajar disenaraihitamkan,” katanya.
Tambah beliau, UNI-MLC menyokong tindakan tegas yang akan diambil oleh Kerajaan dalam perkara ini.
“Majikan-majikan yang tidak bertanggungjawab tidak wajar diberi peluang kedua sebaliknya tindakan tegas perlu diambil sebagai satu pengajaran supaya tidak mengkhianati pekerja-pekerja tempatan.
“Tindakan sesetengah majikan seperti itu secara langsung akan menggagalkan dasar negara menggaji pekerja tempatan dan menawarkan upah sara hidup yang bermakna lagi bermaruah kepada pekerja tempatan.
“Malah tindakan mereka boleh mencemarkan imej dan reputasi Malaysia di peringkat global, terutama dalam kaca mata Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO),” katanya.
Jelas beliau, sekiranya Kerajaan tidak bertindak tegas dalam perkara ini, UNI-MLC khuatir dasar mengutamakan pekerja tempatan akan gagal, dan kita terpaksa bergantung kepada pekerja asing buat selama-lamanya.
“Oleh itu, UNI-MLC mendesak Kementerian Sumber Manusia bertindak tegas dalam perkara ini, dan berharap tidak akan tunduk kepada desakan atau amalan tidak berperikemanusiaan majikan-majikan yang tidak bertanggungjawab terhadap pekerja-pekerja tempatan,” kata beliau.