UNI-MLC lulus resolusi minta kerajaan adakan mekanisme khas tangani harga barang, bantu pekerja

Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) meluluskan resolusi meminta kerajaan melaksanakan mekanisme tegas bagi membendung kenaikan harga barang.

KUALA LUMPUR: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) meluluskan resolusi meminta kerajaan melaksanakan mekanisme tegas bagi membendung kenaikan harga barang, yang secara langsung terus membebankan rakyat terutama pekerja.

Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, UNI-MLC memandang serius situasi semasa yang terus mendatangkan kesan mendalam ke atas kos sara hidup.

“Rakyat menderita, harga barang semakin meningkat. Macam tiada mekanisme untuk mengawal kenaikan harga barang.

“UNI-MLC percaya kerajaan selaku pengawal selia mempunyai kuasa untuk melakukan sesuatu, jangan biarkan kepada orang tengah, kuasa permintaan dan penawaran menentukan kenaikan harga barang,” kata beliau.

UNI-MLC yang mengadakan mesyuarat di ibu negara semalam meluluskan resolusi meminta kerajaan menguatkuasakan pendekatan tegas dan serius.

“Apa peranan kerajaan, bukan kita mempertikai kerajaan. Tetapi memohon mengambil tindakan tegas dalam perkara ini,” kata beliau sambil menambah, “setiap pihak dan parti politik perlu memainkan peranan dalam perkara ini.”

“Sudah hampir enam bulan, harga barang terus naikā€¦ naik dengan mendadak, seolah-olah tiada kawalan,” tambah Shafie.

Kata beliau, keadaan bertambah teruk apabila tiada kenaikan gaji di pihak pekerja memandangkan kebanyakan majikan enggan memberi kenaikan dan pelarasan gaji.

“Apapun kita berharap kerajaan akan melakukan satu menakisme dengan segera bagi mengurangkan beban rakyat,” kata beliau lagi.