Oleh Datuk Mohamed Shafie BP Mammal
PANDANGAN: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menyambut baik keputusan kerajaan Malaysia meratifikasi Konvensyen C155 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong telah mendepositikan dokumen berkaitan di Geneva ketika menghadiri persidangan tahunan ILO semalam, yang mana menurut beliau, ia merupakan sebahagian daripada langkah Kerajaan untuk memperkukuhkan amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan, selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Mei lalu.
Pada pandangan UNI-MLC, langkah itu menunjukkan komitmen kerajaan dan Steven Sim sendiri, yang dilantik menerajui Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) Disember lalu, untuk terus menambah baik aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan susulan usaha awal yang diambil oleh kerajaan tiga dekad lalu dalam menggubal dan menguatkuasakan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514).
Ratifikasi ini menjadi kenyataan tidak sampai setahun beliau dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia. Tahniah dan Syabas kepada beliau. Pastinya langkah terbaharu ini akan memberi suntikan usaha dan semangat dalam kalangan kesemua pemegang taruh.
Sehubungan dengan itu, langkah ratifikasi Konvensyen C155 ILO dilihat sebagai satu langkah bersejarah di pihak kerajaan Malaysia, Kesuma dan Menteri Sumber Manusia, dalam menjaga kebajikan para pekerja yang merupakan aset yang amat penting dalam pembangunan ekonomi dan negara.
Tujuan utama pengenalan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan pada tahun 1994 adalah untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja yang berisiko semasa menjalankan aktiviti pekerjaan dijaga.
Oleh itu, UNI-MLC yakin bahawa standard perburuhan negara khususnya dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang merupakan hak asasi global yang sangat penting akan terus ditambah baik dan dipertingkatkan bagi memastikan persekitaran tempat kerja adalah selamat sepanjang masa.
Semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing pada tahap optimum bagi memastikan persekitaran kerja yang selamat digalak dan diamalkan setiap masa.
Tempat kerja yang selamat bukan sahaja penting daripada sudut para pekerja, tetapi juga akan menguntungkan pihak majikan dan setiap organisasi, yang mana ia juga akan meningkatkan imej, reputasi dan pendapatan syarikat.
UNI-MLC yakin bahawa usaha holistik akan diamalkan dengan komitmen yang tinggi di tempat kerja selari dengan usaha Kerajaan yang menyasarkan untuk menjadikan Malaysia negara maju.
Dalam hal ini, UNI-MLC akan memberi sokongan padu kepada Kementerian Sumber Manusia, yang kini dipimpin oleh Steven Sim, dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH) dalam mencapai matlamat terus menambaik baik amalan-amalan, pendekatan dan program berkaitan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
Nota: Datuk Mohamed Shafie BP Mammal ialah Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC)