UNI-MLC kecewa Belanjawan 2022 tidak sentuh isu pencen amat rendah pesara GLC

Datuk Mohamed Shafie BP Mammal

KUALA LUMPUR: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) melahirkan rasa kecewa kerana Belanjawan 2022 bertemakan “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera” yang dibentangkan semalam tidak menyentuh pencen teramat rendah melibatkan lebih 200,000 pesara Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang sudah berlarutan lebih 20 tahun.

Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, UNI-MLC telah meletakkan harapan agar perkara tersebut dipertimbangkan bagi membantu mereka yang masih menerima pencen di bawah paras kemiskinan.

Bagaimanapun kata beliau, kerajaan tidak mengumumkan penyelesaian yang diharap akan membawa berita “baik” kepada pesara-pesara yang terlibat.

“Meskipun rayuan dan permintaan dihantar kepada kerajaan, tetapi Belanjawan 2022 tidak memberi harapan untuk diselesaikan dan membantu mereka yang memerlukan perhatian Kementerian Kewangan,” kata beliau.

Kata Shafie, “nampaknya isu ini masih berlaturan.”

“Pesara-pesara meletakkan harapan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tetapi tidak ada penyelesaian. Kami amat kecewa,” kata beliau.

Dari segi pencen, Belanjawan 2022 yang diumumkan oleh Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz hanya menyentuh asepk faedah pencen penakat di bawah PERKESO.

Kata Tengku Zafrul, sejak penularan wabak COVID-19, ribuan keluarga Malaysia yang kehilangan punca pendapatan akibat kematian suami, isteri atau ibu bapa telah
menerima faedah pencen penakat di bawah PERKESO.

Bagi tahun hadapan, katanya, kerajaan bercadang untuk meningkatkan kadar pencen minimum di bawah Skim Keilatan daripada RM475 kepada RM550 yang akan membantu 56,000 isi rumah.

“Selain itu, inisiatif ini diikuti dengan penyelarasan faedah-faedah PERKESO kepada kos sara hidup yang dijangka akan memanfaatkan lebih 400,000 penerima faedah sedia ada.

“Dengan peningkatan ini, Kerajaan juga bercadang meningkatkan siling gaji yang diinsuranskan daripada RM4,000 kepada 5,000 untuk menambah baik liputan keselamatan sosial bagi sembilan juta pekerja yang dilindungi oleh PERKESO,” katanya.

Pada awal bulan ini, UNI-MLC mengemukakan rayuan dengan harapan isu itu akan diambil kira oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kajian semula pencen pesara kalangan B40 yang diumumkan oleh Kerajaan pada 30 September 2021 lalu.

Kata Shafie, kadar pencen mereka perlu diselaraskan sehingga kadar minimum sebanyak RM1,000.

Menurut UNI-MLC, bagi pekerja-pekerja yang disarakan di bawah skim Dasar Penswastaan dari tahun 1980-an/1990-an hingga 2012, pencen yang mereka terima pada hari ini tidak ada sebarang perubahan.

“Contohnya, jika mereka menerima pencen RM180 sebulan dan jumlah itu kekal sehingga 2012 tanpa sebarang perubahan,” kata beliau.