KUALA LUMPUR: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menggesa pihak majikan tidak menggunakan taktik terselindung untuk membuang pekerja atas nama skim sukarela (VSS) atau persetujuan bersama (MSS).
Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, pihaknya mempunyai banyak bukti yang menunjukkan terdapat banyak majikan yang menghentikan pekerja mereka atas dasar VSS dan MSS.
“Salah satu isu pada hari ini adalah pelaksanaan VSS dan MSS dengan menggunakan agenda terselindung. Majikan buang dan menghentikan pekerja dengan menggunakan VSS dan MSS.
“UNI-MLC mahu Kementerian Sumber Manusia memberi fokus kepada isu ini, sikap majikan buang pekerja kononnya dipersetujui dan diterima oleh pekerja (VSS dan MSS),” kata beliau kepada Workestimes sempena sambutan Hari Pekerja 2022, hari ini.
Kata beliau, sekiranya pekerja tidak menerima dasar VSS atau MSS yang ditawarkan, pekerja terbabit akan dikenakan tekanan dan ditukarkan ke lokasi-lokasi jauh sebagai satu bentuk “hukuman”.
“Sepatutnya perkara ini tidak berlaku,” kata beliau sambil menekankan bahawa “amalan-amalan seperti ini wajar dihentikan.”
Sambil menegaskan amalan seperti itu semakin ketara sejak kebelakangan ini, termasuk ekoran kesan pandemik COVID-19, tindakan menyeluruh perlu diambil oleh pihak berkuasa.
“Kementerian Sumber Manusia sewajarnya buat pemeriksaan sama ada dasar VSS dan MSS benar-benar diperlukan oleh majikan,” kata beliau.
Dalam perutusan Hari Pekerja, Mohamed Shafie juga menggesa supaya harga barang dikawal sepanjang, bukannya mengikut masa dan musim sahaja.
“Kenaikan barang melambong sukar bagi golongan B40 dan tidak mampu kerana tidak mempunyai kuasa membeli,” kata beliau.