UNI-MLC hargai komitmen Menteri Sumber Manusia, harap lebih banyak majikan laksana bantuan perayaan

UNI-MLC melihat bayaran bantuan perayaan sebagai satu perkembangan signifikan dan langkah membina dalam meningkatkan kebajikan para pekerja, satu lagi bukti Menteri Sumber Manusia, Steven Sim (tengah) telah berjaya memecahkan kebuntuan dalam soal bayaran insentif itu. – Foto ihsan Kementerian Sumber Manausia

PANDANGAN: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menyambut baik keputusan bersejarah penyediaan insentif tebaharu – bayaran bantuan perayaan kepada pekerja-pekerja sektor perbankan di Malaysia, termasuk di Sabah dan Sarawak.

Beberapa hari lalu, Kesatuan Pekerja-pekerja Bank Sarawak (SBEU) ada mengeluarkan kenyataan bahawa Persatuan Bank Komersial Sarawak (SCBA) juga telah memutuskan untuk memberi bantuan perayaan tahun 2024, tidak kira agama, kepada pekerja-pekerja sektor perbankan di Sarawak.

UNI-MLC juga diberitahu banyak bank telah mula membuat pembayaran bantuan perayaan satu bulan gaji untuk pekerja dalam kategori bukan perkeranian dan 0.5 bulan untuk pekerja-pekerja kategori perkeranian dan gred khas ekoran nasihat dan usaha harmoni Menteri Sumber Manusia, YB Steven Sim Chee Keong, yang dilantik pada Disember lalu, yang terus memperlihatkan komitmen untuk menambah baik keperluan golongan pekerja di negara ini.

Secara makro, UNI-MLC melihat ia sebagai satu perkembangan yang signifikan dan langkah membina dalam meningkatkan kebajikan para pekerja di seluruh negara. Pada pandangan UNI-MLC, ia satu lagi bukti di mana Menteri Sumber Manusia telah berjaya memecahkan kebuntuan dalam soal bayaran bantuan perayaan, dan seterusnya memainkan peranan yang bermakna demi pekerja.

UNI-MLC berpandangan perkembangan ini akan menjadi contoh yang baik dalam memartabatkan kepentingan pekerja dan terus memainkan peranan positif dalam mengeratkan jalinan kerjasama di antara majikan dan kesatuan sekerja. Malah, ini satu lagi contoh bahawa peranan kerajaan menerusi Menteri Sumber Manusia, YB Steven Sim dan Kementerian Sumber Manusia juga sangat penting dalam melahirkan persekitaran harmoni di tempat kerja.

UNI-MLC juga berharap bayaran bantuan perayaan ini akan menaikkan semangat pekerja-pekerja bank dalam meraikan sambutan Aidilfitri minggu depan, dan terus bekerja keras untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti perkhidmatan.

Kami berharap lebih banyak majikan tidak kira sektor akan tampil untuk menyediakan bantuan perayaan sebagai insentif tambahan yang bernilai tinggi dalam menghargai sumbangan para pekerja kepada organisasi masing-masing dan negara.

Nota: Datuk Mohamed Shafie BP Mammal ialah Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Anatarabangsa Malaysia (UNI-MLC)