UNI-MLC harap PM juga akan selesaikan isu kadar pencen sangat rendah bekas pekerja GLC

Presiden UNI-MLC, Datuk Seri Mohamed Shafie BP Mammal berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengambil tindakan untuk menyelesaikan isu kadar pencen sangat rendah melibatkan bekas pekerja GLC.

KUALA LUMPUR: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) berkata pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai bayaran pencen mengikut amaun asal memerlukan pencerahan lebih jelas.

Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, pencerahan lebih jelas diperlukan agar maksud sebenar dan defenisi pencen tidak disalah anggap atau disalah tafsirkan.

“Jika Perdana Menteri dan Jabatan Perkhidmatan Awam boleh meluangkan masa untuk memberi penerangan dan tafsiran yang betul, boleh adakan satu perhimpunan ataupun melalui sosial media untuk memberi penjelasan,” kata beliau kepada Workers Times.

Beliau berkata, masih terdapat kekeliruan di atas kenyataan Perdana Menteri kerana ada pihak kononnya menyatakan kenaikan dua peratus setiap tahun yang telah dibayar kepada pesara akan ditarik balik walaupun kenyataan itu kurang tepat, “akan tetapi penjelasan perlu dibuat supaya tiada pihak mempolitikkan perkara ini.”

Selain itu kata beliau, satu perkara yang tidak disentuh oleh Perdana Menteri iaitu tuntutan pesara-pesara syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) melalui UNI-MLC yang mendesak kerajaan mengkaji semula kadar pencen yang diterima adalah di bawah paras kemiskinan.

“Perkara ini telah pun dibangkitkan kepada kerajaan sejak lebih 10 tahun lalu dan kami berharap Perdana Menteri (Anwar) akan mengambil kira tuntutan ini,” kata beliau.

Pada 12 Julai lalu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pencen dan pencen terbitan bagi bulan Julai hingga Disember tahun ini dibayar menggunakan amaun pencen asal.

Kata beliau, keputusan itu selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada Jun lalu.

“Kerajaan mengambil maklum akan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 27 Jun 2023 yang memutuskan bahawa Seksyen 3 dan 7 Akta Penyelarasan Pencen (Pindaan) 2013 [Akta A1447] tidak sah dan undang-undang sebelum pindaan adalah terpakai dengan sendirinya bagi tujuan penyelarasan pencen,” katanya.

Beliau berkata, amaun pencen asal adalah mengikut tafsiran iaitu pegawai awam yang bersara sebelum 2013, bayaran pencen dikembalikan kepada amaun Disember 2012.

“Bagi pegawai awam yang bersara mulai 2013 pula, bayaran pencen dikembalikan kepada amaun asal semasa bersara,” katanya.

Anwar berkata, perbezaan amaun pencen semasa dengan amaun pencen asal terus dibayar dalam bentuk bantuan khas yang dinamakan sebagai Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP)

Dua hari lalu, Anwar berkata, implikasi kewangan berjumlah RM1.3 bilion untuk bayaran pencen dan pencen terbitan bagi bulan Julai hingga Disember 2023 menggunakan amaun pencen asal dimasukkan dalam peruntukan kewangan Belanjawan 2023 dan bukannya amaun tambahan.

“Jumlahnya RM1.3 bilion tetapi memang masuk dalam belanjawan tahun ini,” katanya.

Anwar berkata amaun pencen asal dibayar dalam bentuk bantuan khas yang dinamakan elaun Madani dengan memberi pertimbangan atas khidmat pesara sebagai penjawat awam dahulu.