KUALA LUMPUR: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), yang ditubuhkan lebih dua dekad lalu dengan dianggotai oleh 106 kesatuan gabungan, diterima sebagai ahli Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC).
Dengan penerimaan itu oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), UNI-MLC mempunyai empat orang ahli dalam NLAC, dilihat sebagai satu detik bersejarah.
“Ya, ini kali pertama UNI-MLC diterima sebagai anggota NLAC, sejak UNI-MLC ditubuhkan lebih 20 tahun lalu. Perkembangan ini satu yang bersejarah bagi UNI-MLC dan ahli-ahlinya,” kata Presiden UNI-MLC, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal kepada Workers Times, hari ini.
“Tiga orang pemimpin dari UNI-MLC dengan rasmi dilantik sebagai ahli tetap NLAC bagi tempoh 1 Mei 2023 hingga 30 April 2025 oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim dan menerima watikah pelantikan pada 19 Mac (Selasa) lalu di Putrajaya,” kata beliau.
Selain Mohamed Shafie, UNI-MLC dalam NLAC diwakili oleh Naib Presidennya (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Mohamad Ibrahim Hamid dan Bendahari, Mathialaghan Veraragavam. Turut menerima watikah pelantikan Navamukundan Achutan Nair, yang merupakan Setiausaha Eksekutif Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Perladangan (NUPW), yang juga kesatuan gabunganĀ UNI-MLC.
Ahli-ahli UNI-MLC menghadiri mesyuarat pertama tahun ini NLAC yang berlangsung di KESUMA.
NLAC merupakan badan penasihat isu-isu sumber manusia yang dianggotai oleh wakil kerajaan, majikan dan pekerja.
Dalam laman sosial Facebooknya, Steven Sim berkata, mesyuarat pertama NLAC telah diadakan Selasa lalu dengan dipengerusikan oleh beliau.
Antara ahli NLAC termasuklah Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Persatuan Pengeluar-pengeluar Pertanian Tanah Melayu (MAPA) dan Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM); wakil pekerja pula termasuklah CUEPACS, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan NUPW serta wakil pihak Kerajaan pula dianggotai oleh pelbagai agensi berkaitan seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Kewangan dan Kementerian Sumber Manusia.
Objektif NLAC ini ialah mengadakan satu jentera yang ditubuhkan secara teratur, bagi Menteri Sumber Manusia mendapatkan, melalui perbincangan, nasihat, pandangan atau persetujuan mengenai perkara-perkara yang berhubung dengan perburuhan dan sumber manusia. NLAC bertanggungjawab untuk membincang dan memberi nasihat kepada menterian dalam semua perkara yang berhubung dengan dasar, undang-undang dan amalan pekerjaan.
Mengulas lanjut, Mohamed Shafie berkata, pihaknya rasa bangga kerana diterima sebagai ahli NLAC, yang secara langsung menyediakan ruang untuk membela isu-isu pekerja, sumber manusia dan dasar buruh negara.
“Saya yakin pelantikan ini akan menyuntik semangat UNI-MLC, kesatuan gabungan kami dan ahli mereka untuk terus meningkatkan usaha memartabatkan para pekerja,” kata beliau.