KUALA LUMPUR: Majikan dan pekerja mempunyai peranan dalam aspek menentukan persekitaran tempat kerja yang harmoni, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud hari ini.
Dalam hal ini, kata beliau, semangat menang-menang atau win-win situation atau perkongsian pintar sangat penting.
“Tiada pihak yang boleh melakukan sesuatu atau menghadapi satu-satu situasi bersendirian.
“Kita perlukan gandingan dan sokongan bersama pelbagai pemegang taruh – yang penting di sini ialah majikan dan pekerja,” kata beliau ketika berucap merasmikan Seminar yang bertemakan “Partnership Industrial and Labour Relations” bagi sektor commerce atau perdagangan, yang akan berlangsung di sini, selama dua hari mulai hari ini.
Ia dianjurkan oleh Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI MLC).
Seminar ini dihadiri oleh 100 pegawai kesatuan dan aktivis kesatuan gabungan UNI MLC dan di antara topik yang akan dikupas dan dibincang adalah Smart Partnership atau Perkongsian Pintar dan pelaksanaan pindaan Akta Kerja 1955.
Kata beliau lagi, melihat kepada tema dan topik, seminar ini berkonsepkan pendidikan untuk memberi pendedahan dan memastikan semua pemimpin kesatuan sekerja senantiasa memahami perubahan semasa, daripada pelbagai sudut dan kesannya ke atas industri, organisasi dan pekerja, yang akan memberi manfaat besar kepada para pekerja. Situasi ini bukan sahaja dialami di Malaysia, tetapi juga di semua negara yang ada pergerakan pekerja dan kesatuan sekerja.
“Tahniah dan syabas saya ucapkan, bagi pihak Kementerian Sumber Manusia dan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kepada UNI MLC dan para peserta Seminar.
“Usaha murni seperti ini harus diteruskan dan diadakan demi kebaikan bersama. Kementerian Sumber Manusia akan terus memberikan sokongan untuk menjayakan usaha seperti ini,” kata beliau.
Beliau seterusnya berkata, penganjuran seminar ini sangat relevan dan sesuai dengan perkembangan dan keperluan semasa.
“Teknologi berubah. Dunia mengalami perubahan ketara. Begitu juga persekitaran tempat kerja dan cabaran dunia pekerjaan yang turut berubah.
“Justeru itu, para pemegang taruh dalam setiap industri perlu berubah untuk menghadapi ujian, dan cabaran terkini, dan mengambil segala tindakan yang perlu lagi relevan untuk memperkasakan diri masing-masing,” kata beliau matlamat seminar juga ada kesamaan dengan konsep Masyarakat Madani yang diilhamkan oleh perdana menteri.
Mustapha juga berkata, tema “Partnership Industrial and Labour Relations” merupakan satu aspek “ever green” atau segar sepanjang masa, dan mendapat perhatian sepanjang zaman.
“Selagi ada majikan dan pekerja, selagi itulah konsep ini akan dihargai dan diperjuangkan amalannya di tempat kerja.
Oleh itu, apabila tema ini dipilih pada hari ini, dan saya dan Kementerian Sumber Manusia diundang untuk merasmikannya, saya melihat ada nilai tambah tersendiri untuk memastikan bahawa kita sama-sama dapat memainkan peranan sewajarnya dan konstuktif bagi menjamin persekitaran harmoni dan perhubungan perusahaan yang baik sepanjang masa di tempat kerja,” katanya.
Menurut beliau, tempat kerja yang tidak harmoni akan merugikan pekerja dan majikan.
“Majikan melabur untuk mendapatkan keuntungan atau pulang. Itu sasaran mereka.
“Manakala pekerja pula, yang bekerja dengan bertungkus-lumus untuk mendapatkan upah dan pendapatan bagi diri dia dan mereka yang bergantung padanya, ingin tempat kerja harmoni dan dibayar ganjaran sara hidup yang sewajarnya.
“Jika kedua-dua pihak pekerja dan majikan tidak memainkan peranan yang seimbang dalam mewujudkan persekitaran tempat kerja yang harmoni, saya percaya, dan saudara-saudari juga, saya percaya, keadaan itu tidak akan menguntungkan mana-mana pihak,” katanya lagi.
Secara keseluruhan, katanya, tempat kerja yang harmoni akan melahirkan masyarakat, organisasi dan negara yang berdaya tinggi, produktif dan aman.
Dalam pada itu, Presiden UNI MLC, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, falsafah utama rangkaian itu ialah mewujudkan persefahaman yang baik, yang akan membawa kepada penyelesaian pertikaian dengan baik dan efektif.
“Kalau ini dilakukan, maka kita boleh mencapaikan matlamat konsep masyarakat madani yang dibawa kerajaan,” kata beliau yang turut memaklumkan bahawa UNI MLC akan mempromosikan konsep tersebut.