Tiada sebab tidak sambung kontrak saya, kata CEO Petronas

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tengku Tan Sri Muhammad Taufik

KUALA LUMPUR: Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tengku Tan Sri Muhammad Taufik percaya tidak ada sebab mengapa kontrak beliau tidak akan disambung.

“Saya tiada sebab untuk percaya ia tidak akan dilanjutkan,” kata beliau mengulas khabar angin bahawa status kontraknya yang dipercayai akan berakhir bulan ini.

Tambah beliau: “Saya tidak mempunyai pemegang saham yang menyampaikan sebarang rasa tidak puas hati. Saya tidak mempunyai sebab pada ketika ini untuk mempercayai bahawa tidak perlu ada lanjutan.”

Tengku Muhammad Taufik bagaimanapun memberitahu bahawa keputusan memperbaharui atau tidak memperbaharui kontraknya terletak pada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Akhirnya, keputusan adalah atas budi bicara Perdana Menteri,” kata beliau pada taklimat hari ini menjelang pengumuman Petronas mengenai suku pertama tahun kewangan 2023, hari ini.

Tengku Muhammad Taufik mengambil alih pengurusan tertinggi Petronas pada 1 Julai 2020 menggantikan Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Beliau merupakan Ketua Pegawai Kewangan Petronas dan merupakan ahli lembaga pengarah sejak Oktober 2018.

Tengku Muhammad Taufik, yang merupakan presiden ketiga Petronas dalam sedekad, menyandang kepimpinan syarikat minyak dan gas negara itu pada usia 47 tahun, menjadikan beliau antara individu paling muda memegang jawatan kepimpinan di sana.