KUALA LUMPUR: Sementara pekerja sektor awam akan menikmati cuti umum ganti pada 3 Februari depan sempena Hari Wilayah Persektuuan dan Tahun Baharu Cina yang jatuh pada hari yang sama, kakitangan awam dikehendaki bekerja pada hari tersebut.
Mengikut maklumat yang diedarkan oleh Malaysia Government Call Centre dalam talian sejak semalam, kakitangan awam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dikehendaki bekerja seperti biasa pada 3 Februari.
Menurut maklumat pusat itu bertarikh 19 Januari 2022, “memandangkan hari pertama Tahun Baharu Cina dan Wilayah Persekutuan jatuh pada hari bekerja iaitu Selasa, 1 Februari 2022, maka tiada cuti gantian secara automatik diperuntukkan di bawah Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369).”
“Cuti gantian secara automatik pada hari berikutnya hanya diberikan jika hari kelepasan am jatuh pada hari kelepasan mingguan (Jumaat atau Ahad) mengikut negeri masing-masing selaras dengan Seksyen 3 Akta 369.”
Di bawah kalendar hari kelepasan awam, Tahun Baharu Cina diberikan cuti umum selama dua hari. Tahun ini, Tahun Baharu Cina disambut pada1 dan 2 Februari manakala 1 Februari setiap tahun merupakan cuti umum bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Workers Times menerima beberapa panggilan mengenai perkara tersebut.
Mengikut pekeliling yang dikeluarkan oleh persekutuan majikan, 3 Februari merupakan cuti am bagi sektor swasta. Di bawah pekeliling itu, sekiranya majikan memutuskan untuk beroperasi, mereka perlu mendapatkan persetujuan pekerja dan jika pekerja-pekerja terbabut bekerja, mereka boleh dibayar gaji atau diberikan cuti gantian kemudian hari.
Dua hari lalu, Jabatan Perdana Menteri (JPM) menafikan maklumat yang tular menerusi media sosial konon 3 Februari diisytiharkan hari kelepasan am Wilayah Persekutuan.
Sebaliknya, JPM menegaskan bahawa maklumat yang tertera dalam tangkap layar disebarkan menerusi aplikasi Whatsapp tersebut adalah tidak benar.
“Orang ramai dinasihatkan tidak menyebar atau berkongsi sebarang maklumat yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” kata JPM dalam akaun Facebooknya.
Ia turut merujuk pertanyaan daripada pelbagai pihak mengenai hebahan tular tersebut yang menggunakan tajuk Akta Hari Kelepasan 1951 Pemberitahuan Di Bawah Subseksyen 9(2).
Berdasarkan tangkap layar dimuat naik JPM, pekeliling palsu itu mendakwa konon Khamis minggu depan sebagai cuti Hari Wilayah Persekutuan 2022 yang dianjak daripada 1 Februari.
Ini susulan tarikh berkenaan secara kebetulan jatuh pada sambutan Tahun Baharu Cina yang akan diikuti keesokan pada 2 Februari kecuali bagi Kelantan dan Terengganu hanya sehari.
Hari Wilayah Persekutuan disambut warga Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan setiap tahun pada 1 Februari sejak 1974.