PORT DICKSON: Negara tiada pilihan kecuali membaiki aras upah dan sistem gaji semasa jika benar-benar berhasrat mahu menyediakan mekanisme perlindungan sosial lebih membina untuk pekerja.
Pengarah Unit Sosioekonomi Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM), Dr. Zouhair Rosli berkata, kedua-dua aspek tersebut berada dalam keadaan yang tidak memuaskan sehingga gagal menyediakan perlindungan sosial yang sempurna untuk pekerja di Malaysia.
“Gaji yang diterima oleh pekerja di Malaysia belum cukup adil. Kedua, sistem (gaji) juga tidak sempurna, banyak komponen yang diperlukan tidak ada dalam sistem yang ada pada masa sekarang,” kata beliau
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Perwakilan Tiga Tahunan NUBE ke-25 di sini hari ini. Persidangan kali ini bertemakan “Utamakan Perlindungan Sosial Untuk pekerja-pekerja Di Dalam Sektor Kewangan”.
Kata beliau, cadangan dasar gaji progresif yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini seakan-akan hendak menyediakan gaji yang lebih baik.
Bagaimanapun kata beliau dasar gaji progresif itu sama seperti gaji berdasarkan produktiviti yang diperkenalkan lebih dua dekad lalu, yang masih kekurangan banyak komponen untuk memberi kadar upah yang baik, sekali gus memberi perlindungan sosial kepada golongan pekerja.
Kata beliau, daripada 100 majikan hanya lapan yang menggguna pakai sistem upah berdasarkan produktiviti.
“Tidak ada sokongan luas daripada majikan. Sebab itu apabila kerajaan berkata hendak memperkenalkan dasar gaji progresif, majikan kata bagus… sebab ia tidak baik untuk pekerja,” kata beliau.
Sehubungan dengan itu, Zouhair menasihatkan gerakan kesatuan sekerja supaya muncul lebih kuat dan tidak dipijak oleh pihak majikan jika benar-benar mahu berjuang untuk perlindungan sosial yang lebih menyeluruh.