PORT DICKSON: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan Kerajaan Perpaduan akan terus memastikan bahawa perlindungan sosial para pekerja termasuk mereka yang berkhidmat dalam sektor perbankan terus terpelihara demi kelestarian pembangunan negara.
Menurut Perdana Menteri, setiap pekerja mempunyai sumbangan dalam arus pembangunan negara.
“Justeru, hasil keringat mereka tidak boleh dinafikan, sebaliknya perlu dihargai, dan ditambah baik dari semasa ke semasa.
“Saya paculkan keyakinan bahawa Persidangan Perwakilan Tiga Tahunan (TDC) NUBE ke-25 akan mengenal pasti usaha, strategi dan program bagi memperkasa aspek perlindungan sosial para pekerja di Malaysia,” kata beliau.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata, kemandirian NUBE selama lebih 70 tahun menunjukkan betapa kesatuan itu punyai peranan yang penting di dalam arus industri perbankan dan kewangan yang senantiasa rencam, dinamik dan berkembang pesat.
TDC NUBE ke-25 bertemakan “Utamakan Perlindungan Sosial Untuk Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Kewangan”.
Beliau menyatakan demikian dalam perutusan untuk Laporan Setiausaha Agung Kehormat sempena TDC NUBE ke-15 yang berlangsung di sini, hari ini.
Beliau berkata, semoga pertemuan tiga tahunan sekali kali ini akan berjalan dengan lancar dan meninggalkan dampak yang baik.
“Mendoakan agar NUBE terus diberikan kekuatan untuk kekal menjadi pembela golongan pekerja dalam menyediakan khidmat yang berkualiti tinggi kepada ahlinya dan seterusnya kepada sektor perbankan secara keseluruhan,” kata beliau.