TDC didakwa tidak sah, anggota gabungan buat aduan di RoS

A. Sivananthan, ahli Majlis Am Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata aduan mendakwa Persidangan Perwakilan Tiga Tahunan (TDC) ke-42 tidak dijalankan dengan tidak sah telah difailkan di Pejabat Pendaftar Pertubuhan.

KUALA LUMPUR: Pihak yang mendakwa Persidangan Perwakilan Tiga Tahunan (TDC) ke-42 Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) awal bulan ini dijalankan tanpa mengikut perlembagaan pergerakan pekerja itu telah memfailkan aduan secara rasmi kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Aduan dibuat di RoS Cawangan Selangor dan Ibu Pejabat RoS, Putrajaya, kata seorang perwakilan, A. Sivananthan.

“Perkara tersebut juga telah dibawa ke perhatian Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, dan Timbalan Menteri dan Menteri Dalam Negeri, untuk tindakan segera mereka,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Sebelum ini beliau pernah meminta kepimpinan MTUC tidak meneruskan TDC, yang berlangsung pada 2 dan 3 Julai lalu, atas alasan telah melanggar 13 perkara berdasarkan keperluan perlembagaan badan tersebut.

Hari ini, beliau berkata, ketika permulaan TDC, kira-kira 30 kesatuan sekerja telah membantah dan menuntut supaya kepimpinan MTUC menangguhkan TDC bagi membolehkan mereka membetulkan semua pelanggaran perlembagaan sebelum mengadakan TDC.

“Kepimpinan dengan sokongan majoriti perwakilan yang intimidasi telah menolak bantahan dan meneruskan TDC,” kata beliau.

TDC kali telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Kata beliau, pihaknya mengemukakan tuntutan sah agar pihak berkuasa mengambil tindakan segera untuk menggantung kepimpinan supaya tindakan-tindakan yang menyalahi undang-undang tidak akan dilakukan, yang boleh menjejaskan lagi dan menjadikan MTUC tidak dapat dibaiki.

Sivananthan yang juga ahli Majlis Am MTUC berkata, paling menyedihkan pelanggaran Perlembagaan MTUC yang berulang ini disebabkan oleh ketiadaan tindakan di pihak RoS sejak September 2020, apabila pucuk pimpinan dipilih dan seterusnya pelbagai aduan difailkan dengan RoS.

Kata beliau, ia adalah pelanggaran berat di bawah Perlembagaan MTUC kerana sebarang cadangan pindaan ke atas Perlembagaan hanya perlu dilaksanakan dan diluluskan di TDC, dan bukan di Majlis Am.

“Tiada penyata akaun bulanan tunggal dikemukakan oleh kepimpinan yang dipilih pada September 2020.

“Penyata Akaun Tahunan yang telah diaudit untuk tahun berakhir Mac 2020, 2021 dan 2022 tidak pernah dibentangkan di Majlis Am mahupun TDC,” kata beliau, antara lain, anggaran belanjawan untuk tahun 2023 hingga 2025 hanya dibentangkan pada sebelah petang 3 Julai 2022, iaitu pada hari kedua TDC.

Jelas beliau, anggaran belanjawan hanya boleh dibincangkan selepas meluluskan pendapatan dan perbelanjaan untuk tahun 2020 hingga 2022, dan kegagalan berbuat demikian adalah pelanggaran besar peraturan TDC.

Sivananthan menambah, tindakan berterusan oleh pemimpin MTUC telah membawa keburukan bukan sahaja kepada MTUC dan 115 ahli gabungannya, tetapi juga kepada orang ramai secara keseluruhan.

“Kami menghargai 30 ahli gabungan MTUC yang amat mengambil berat tentang undang-undang rimba yang digunakan dalam pentadbiran MTUC,” kata beliau.

Beliau seterusnya berkata, kebolehpercayaan dan integriti pemimpin-pemimpin ini telah tercalar, manakala GLC dan GLIC sudah pasti akan berhati-hati dan jelak dengan pengumuman Ismail Sabri baru-baru ini untuk melantik wakil MTUC sebagai Ahli Lembaga GLC dan GLIC.

“Bukan niat saya untuk meluahkan rasa tidak puas hati secara terbuka. Terdapat beberapa Kesatuan yang telah mencuba sedaya upaya untuk menyatakan kebimbangan mereka pada Mesyuarat Majlis Am tetapi permainan nombor adalah perkara biasa.

“Kami fikir bahawa para perwakilan di TDC akan lebih bertanggungjawab tetapi sekali lagi imuniti kelompok adalah kuasa pada hari ini. Lebih memeranjatkan pihak guru yang membentuk delegasi terbesar juga merelakan perbuatan salah semata-mata kerana jawatan,” kata beliau lagi.

Sebagai perwakilan veteran, kata Sivananthan, beliau tidak boleh membenarkan MTUC digadaikan untuk faedah individu dan bukannya demi faedah pekerja.

“Kepentingan individu telah dan akan terus menjejaskan mata pencarian pekerja, dan ini harus dihentikan kerana pekerja-pekerja di Malaysia bertarung setiap hari untuk memenuhi keperluan mendepani kos sara hidup yang semakin meningkat,” kata beliau lagi.