KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia telah memulakan kajian mengenai tempoh bekerja empat hari dalam seminggu bagi memastikan majikan tidak berdepan kesan yang teruk sekiranya ia dilaksanakan pada masa hadapan.
“Kajian telah dan sedang dijalankan. Setakat ini, kita lihat tempoh empat hari bekerja itu tidak mengurangkan produktiviti pekerja. Sekiranya ada majikan yang terkesan, kita akan ambil kira kajian berkenaan untuk dibincangkan di pihak kementerian,” kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim dipetik Bernama.
Pemangku Presiden Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani sebelum ini berkata, cadangan pelaksanaan kerja empat hari seminggu masih perlu diperhalusi dan dibincangkan dengan lebih teliti.
Kata beliau, cadangan itu bersesuaian kepada beberapa industri sahaja.
Dalam masa sama, yang menjadi kebimbangan beliau ialah wujudnya kesan negatif kepada pekerja seperti pemotongan gaji, elaun dan lain-lain.
Awal bulan ini, lebih 3,300 pekerja daripada 70 syarikat di Britain mengambil bahagian dalam program perintis selama enam bulan untuk mengkaji manfaat bekerja empat hari seminggu.
Program tersebut dianjurkan oleh pertubuhan bukan bermotifkan keuntungan, 4 Day Week Global bersama kumpulan pemikir, Autonomy dan pasukan penyelidik dari Universiti Cambridge, Universiti Oxford serta Kolej Boston.
Sepanjang kajian itu berlangsung, pasukan penyelidik akan mengukur produktiviti dan kesejahteraan pekerja di samping tahap tekanan serta keletihan mereka.