Susulan piket 22 Jun MBSB Bank umum bayaran khas, NUBE sambut baik

Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) menyambut baik keputusan MBSB Bank yang memutuskan untuk menyediakan bayaran sekali dibayar kepada pekerjanya yang menerima gaji RM5,000 dan ke bawah.

KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) menyambut baik keputusan MBSB Bank yang memutuskan untuk menyediakan bayaran sekali dibayar kepada pekerjanya yang menerima gaji RM5,000 dan ke bawah.

Langkah itu diumumkan kira-kira sebulan selepas NUBE mengadakan piket di lima bandar serentak bulan lepas.

Dalam paparan di laman sosial media semalam, NUBE berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Lembaga Pengarah MBSB Bank, Tan Sri Azlan Mohd Zainol; Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Talib; Ketua Pegawai Modal Insan, Farid Basir dan Lembaga Pengarah bank itu di atas pemberian bayaran sekali dibayar dalam bentuk bantuan kewangan kepada ahli-ahli NUBE.

“Lembaga Pengarah dan Pasukan Pengurusan MBSB telah menunaikan apa yang dijanjikan dan keputusan ini disambut baik oleh NUBE dan juga ahli-ahli NUBE di MBSB Bank,” kata NUBE.

Dalam pekeliling diedarkan MBSB Bank, yang turut disiarkan di laman sosial NUBE, Nor Azam berkata, “sukacita dimaklumkan bahawa Lembaga Pengarah dan pasukan Pengurusan telah bersetuju untuk memberi anda bayaran sekali gus dalam bentuk bantuan kewangan untuk pekerja yang mendapat gaji pokok RM5,000 atau kurang.”

“Ia akan dikreditkan ke dalam akaun bank anda pada 31 Julai 2022 (hari ini). Ini bertujuan untuk mengurangkan kesukaran dihadapi oleh mereka yang pendapatan isi rumahnya telah terjejas akibat wabak itu,” kata beliau.

Tambah beliau, langkah itu selaras dengan salah satu nilai teras MBSB Bank iaitu “empati” yang merujuk kepada kapasiti untuk memahami apa yang dialami oleh orang lain.

“Sumbangan kecil ini diharap dapat mengurangkan sedikit tekanan kewangan dan menyuntik motivasi baharu untuk melakukan kerja yang terbaik untuk keluarga dan Bank.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih atas komitmen dan dedikasi anda terhadap perkhidmatan anda bagi pihak MBSB Bank, dan saya mengharapkan sokongan berterusan anda,” kata beliau.

Dalam piket pada 22 Jun lalu, NUBE mengadakan piket peringkat kebangsaan secara serentak di seluruh Semenanjung bagi membantah tindak-tanduk pengurusan tertinggi MBSB Bank Berhad (MBSB) yang didakwa mendiskriminasi, menafikan dan menganiayai ahli-ahli NUBE, dan bertindak dengan tidak jujur dalam urusan dengan kesatuan tersebut.

Piket di lima cawangan MBSB berlangsung di Bandar Baru Bangi, Selangor; Wisma Penang Garden Business Centre, George Town, Pulau Pinang, Persiaran Greenhill, Ipoh, Perak; Jalan Melaka Raya 1, Melaka Raya, Melaka dan Jalan Sultan Ismail, Kuala Terengganu, Terengganu.

Ketika itu, NUBE berkata, pihaknya tiada pilihan kecuali mengadakan piket ini memandangkan pengurusan tertinggi MBSB dengan sengaja enggan menyelesaikan keluhan-keluhan pekerja yang dibangkitkan dan mengamalkan sikap tidak bertamadun terhadap pekerja-pekerja B40.