Sultan Nazrin kurnia kartunis tersohor Lat Anugerah Seniman Diraja

Sultan Nazrin Shah (kanan) perkenan melawat Galeri Rumah Lat selepas perasmian. Turut hadir Lat atau nama sebenarnya Datuk Mohd Nor Khalid. – Foto ihsan Astro Awani

BATU GAJAH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah menganugerahkan gelaran Seniman Diraja kepada Datuk Mohd Nor Khalid, 72, atau lebih dikenali dengan nama Lat serentak dengan perasmian Galeri Rumah Lat di sini semalam.

Lat menyifatkan anugerah tersebut merupakan penghargaan tinggi dalam memartabatkan penggiat seni, pelukis, kartunis kerana karya mereka turut diiktiraf oleh pihak istana.

“Satu penghormatan buat saya dan saya menjunjung kasih atas perkenan yang diberikan oleh Sultan Nazrin Shah, memang agak terkejut juga,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Galeri Rumah Lat.

Sultan Nazrin semasa merasmikan galeri itu turut berkenan menganugerahkan Lat sebagai Seniman Diraja.

Sultan Nazrin bertitah, anugerah itu sebagai mengiktiraf peranan dan sumbangan besar oleh seniman agung itu memperkenalkan Malaysia di pentas antarabangsa dan mengharumkan nama negara.

Lat berkata, keterujaan apabila hasratnya untuk membuka galeri bagi menempatkan kesemua hasil karya seninya sejak 1962 akhirnya terlaksana.

Katanya, lokasi rumah dan galeri berkenaan di kawasan Silverlakes Premium Outlet di Batu Gajah sangat strategik dan akan menjadi pusat tarikan baharu kepada pengunjung.

“Alhamdulillah akhirnya hasrat untuk membuka Galeri Rumah Lat berhasil untuk saya tempatkan kesemua hasil karya seni sepanjang tempoh karier saya sejak dari tahun 1962.

“Saya rakamkan jutaan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat membangunkan Galeri Rumah Lat bagi memastikan sumbangan para pelukis komik dan kartunis dihargai,” kata beliau.

Lat berkata, Galeri Rumah Lat juga turut mempromosikan kebudayaan masyarakat Malaysia secara amnya dan kehidupan masyarakat Melayu Perak khususnya.

Katanya pembukaan Galeri Rumah Lat itu akan menjadi tempat untuknya untuk terus berkarya selain mahu memastikan apa yang diperjuangkannya dahulu akan terus terpelihara.