KUALA LUMPUR: Syarikat Sukses Dinamik Enterprise dan Teroka MajuBina Sdn Bhd hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk membentuk kerjasama sinergi bagi membangunkan Royal Cruise Academy yang akan menyediakan tenaga kerja di dalam bidang pelayaran persiaran.
Di bawah MoU ini, yang ditandatangani di sini, latihan yang menyasarkan keperluan dalam dan luar negara, akan mula beroperasi secara rasmi pada 1 Mei 2024.
Para pelatih akademik akan diberi latihan di kapal persiaran yang akan dinamakan sebagai “M Cruise”. Seramai 1,000 pelatih disasarkan akan mengikuti latihan di bawah usaha ini.
Pada majlis memeterai MoU ini, Teroka MajuBina Sdn. Bhd diwakili oleh Pengerusinya, Datuk Mohd Isa Abu Kasim manakala Sukses Dinamik Enterprise oleh Pengarahnya, Tan Yan Khuan.
Usaha ini diambil memandangkan buat masa ini terdapat permintaan yang tinggi daripada benua Eropah bagi kerjaya dalam bidang perkalapan, terutama persiaran.
“Kami yakin bahawa usaha ini akan menyediakan tenaga kerja yang diperlukan untuk membangunkan industri pelayaran persiaran atau cruise, bukan sahaja untuk keperluan tempatan, tetapi juga untuk di luar negara. Dalam jangka panjang ia akan melengkapkan model bisnes kami yang bersandarkan kepada industri perkapalan hibrid,” kata Mohd Isa dalam satu kenyataan media.
MoU ini juga bertujuan untuk kontrak pembekalan sebuah kapal persiaran (cruise) berkapasiti 1,000 penumpang kepada Teroka MajuBina Sdn Bhd. Operasi kapal persiaran ini akan berpusatkan Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Kuantan.
“Kami juga yakin langkah ini akan meningkatkan sektor pelancongan negara dan akan menjadi produk pelancongan baharu di Malaysia memandangkan tidak ada kapal persiaran milik Malaysia buat masa ini,” kata Mohd Isa.
Untuk rekod, Teroka MajuBina sedang dalam proses perancangan pembinaan kompleks Hybrid Shipyard di Tanjung Agas, Pekan, Pahang, dijangka mula beroperasi pada Jun 2025.
Mohd Isa berkata, pihaknya yakin MoU ditandatangani hari ini akan memenuhi harapan Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke yang baru-baru ini memaklumkan bahawa Malaysia memerlukan lebih ramai pelaut tempatan menerokai potensi dan keperluan industri perkapalan di peringkat tempatan dan luar negara.
Menurut beliau, ketika ini negara mempunyai sekitar 60,000 pelaut yang mendaftar dengan Jabatan Laut Malaysia dan jumlah itu tidak mencukupi jika dibandingkan dengan keperluan sebenar industri. Negara jiran termasuk Filipina dan Indonesia mempunyai pelaut yang ramai, malah tenaga mereka turut memenuhi keperluan industri perkapalan di luar negara.
Pada 14 Disember 2023, Teroka Majubina Sdn Bhd dan Netherland Maritime University College menandatangani MoU untuk menubuhkan sebuah Universiti Maritim di Kuantan, Pahang bagi melahirkan graduan-graduan dan tenaga pekerja terlatih untuk memenuhi kehendak tenaga kerja di Hybrid Shipyard Tanjung Agas, Pekan, Pahang. Universiti Maritime yang bakal ditubuhkan itu bakal menjadi pangkalan terbesar menghasilkan graduan bertenaga mahir dalam industri maritim perkapalan.
Mengulas mengenai MoU ini, Pengarah Sukses Dinamik Enterprise, Tan Yan Khuan berkata, pihaknya yakin bahawa kerjasama ini akan membawa nilai tambah yang tinggi kepada Malaysia, industri pelayaran persiaran dan kedua-dua syarikat.
“Malaysia ada banyak potensi untuk merancakkan lagi industri pelayaran persiaran, jadi usaha kami ini akan membawa hasil yang besar dalam jangka panjang, dengan menyediakan tenaga kerja yang mahir dan cukup untuk pasaran dalam negara dan luar negara,” kata beliau.