SR Marine Services, Teroka Majubina meterai MoU bekal perkhidmatan marin lengkap

SR Marine Services Sdn Bhd dan Teroka Majubina Sdn Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) di ibu negara Rabu lalu bagi menyediakan perkhidmatan marin yang lengkap kepada Teroka Majubina Sdn Bhd.

KUALA LUMPUR: SR Marine Services Sdn Bhd dan Teroka Majubina Sdn Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menyediakan perkhidmatan marin yang lengkap kepada Teroka Majubina Sdn Bhd.

Antara lain MoU, yang ditandatangani Rabu lalu merangkumi peruntukan untuk pembinaan kapal sederhana saiz untuk pasaran di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

SR Marine Services akan menyediakan perkhidmatan untuk memudahkan Teroka Majubina dalam memperoleh kapal sokongan luar pesisir dan binaan baharu yang diperlukan oleh Teroka Majubina.

MoU ini merupakan sebahagian daripada skop perniagaan Teroka Majubina yang akan membangunkan Kompleks Limbungan Kapal Hibrid yang akan dibina di Tg Agas, Pekan, Pahang.

Ia ditandatangani oleh Pengerusi Teroka Majubina, Datuk Mohd Isa bin Abu Kasim manakala SR Marine Services pula Pengarah Urusannya, Kapten Sivanes Madavin.

Mohd Isa menyifatkan MoU yang ditandatangani hari ini sebagai satu kemajuan penting dalam merealisasikan dan menjayakan objektif pembangunan Kompleks Kapal Hibrid di Pekan.

“Sejak MoU pembinaan Kompleks Hibrid yang ditandatangani tiga bulan yang lalu, Teroka Majubina telah mencapai beberapa fasa kemajuan dan kejayaan. Sehubungan dengan itu, MoU hari ini membantu melengkapkan misi besar Teroka Majubina.

“Kerjasama untuk membina kapal sederhana saiz untuk kegunaan di Malaysia dan rantau Asia Tenggara akan menjayakan keperluan dan permintaan jangka panjang di rantau ini dan lain-lain rantau,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan.

Dalam pada itu, Sivanes berkata, SR Marine Services gembira dan bangga untuk berganding dengan Teroka Majubina dalam membina dan membangunkan kapal-kapal yang diperlukan oleh Teroka Majubina, sebahagian daripada misi mereka.

“SR Marine Services yakin dan optimis bahawa kekuatan sedia ada akan menjayakan objektif MoU yang dimeterai hari ini. Kami yakin usaha sama kedua-dua SR Marine Services dan Teroka Majubina akan menjadi titik tolak untuk kejayaan yang lebih besar kelak, untuk kedua-dua syarikat ini dan juga negara dalam jangka panjang,” kata beliau.

Untuk rekod, Teroka MajuBina kini dalam proses perancangan pembinaan Kompleks Kapal Hybrid di Tanjung Agas, Pekan, Pahang, dijangka mula beroperasi pada Jun 2025. Pada 20 Oktober 2023, Teroka Majubina dan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang telah menandatangani MoU untuk membangunkan sebuah Kompleks Limbungan Kapal Hibrid di Tanjung Agas, Pekan.

Di bawah MoU itu, Teroka MajuBina Shipyard Complex dijadual untuk beroperasi mulai tahun 2025, merangkumi kawasan seluas 1,000 ekar di Tanjung Agas, yang menempatkan enam dry docks yang panjangnya 500 meter, dikelilingi oleh 12 quays.

Nilai keseluruhan projek ini adalah AS$1.5 bilion (sekitar RM7 bilion). Pelaburan dari luar negara dan juga dalam negeri akan menjadi asas kepada projek itu.