KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, Rang Undang-undang (RUU) Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2022 akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Antirasuah (TIA) Dewan Negara bagi memperhalusinya sebelum ia dibawa ke sidang Dewan Negara.
Rais memberi jaminan itu susulan kunjungan hormat wakil Gabungan Menentang Kepelbagaian Kesatuan Sekerja (CAMU) yang mewakili 39 kesatuan sekerja di Parlimen pada Khamis lepas.
Dua perkara penting dibangkitkan CAMU adalah tidak ada penubuhan kesatuan sekerja berlapis-lapis atau terlalu banyak bilangannya dan melihat semula kuasa-kuasa tertentu yang membantutkan hak asasi kesatuan sekerja dan hak anggotanya.
“CAMU mengemukakan rayuan supaya Dewan Negara meneliti sedalam-dalamnya peruntukan-peruntukan pindaan yang diluluskan di Dewan Rakyat,” katanya menerusi kenyataan yang dipetik Bernama.
Pada 5 Oktober lepas, Dewan Rakyat meluluskan RUU itu bagi meminda Akta Kesatuan Sekerja 1959 antaranya bertujuan memberi kebebasan kepada pekerja untuk menyertai atau menubuhkan kesatuan mengikut pilihan sendiri.
Dalam pertemuan itu, CAMU menjelaskan implikasi dan kesan negatif sekiranya RUU tersebut dilaksanakan. Di antara perkara penting kenapa CAMU membantah RUU ini adalah kerana hakikatnya kepelbagaian kesatuan sekerja bertujuan untuk mewujudkan persaingan sesama kesatuan, melemahkan kuasa tawar-menawar Perjanjian Kolektif Kesatuan Sekerja dan ketidakharmonian industri.
Atas sebab itu, setelah melalui keadaan yang sukar di antara ahli-ahli kesatuan di dalam perbalahan yang berlaku selama tujuh tahun, lima hakim Arif Mahkamah Persekutuan menyatakan dengan jelas dalam penghakiman mereka di dalam kes Kesatuan Pekerja-pekerja Bukan Eksekutif Maybank Bhd lwn. Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank & Anor 2017 bahawa, “terdapat kesatuan sekerja yang sudah wujud yang mewakili industri yang sama dan ia harus disedari oleh Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja bahawa keberbilangan kesatuan sekerja berkenaan perkerjaan yang sama tidak akan memupuk keharmonian industri”.
Justeru itu, CAMU juga telah mengesyorkan supaya RUU yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 5 Oktober lalu tidak dibawa ke Dewan Negara selagi elemen-elemen yang merugikan para pekerja digugurkan dan ditarik balik.
CAMU berpendirian bahawa Kerajaan terutama Kementerian Sumber Manusia menarik balik RUU itu dan mengadakan perbincangan secara holistik bersama kesatuan sekerja.