Pengerusi Institut Pemberdayaan Pekerja Selangor, Syed Shahir Syed Mohamud menandatangani plak pelancaran SPCAAM di Kuala Lumpur, hari ini, dengan disaksikan oleh Presidennya, J Solomon (kanan) dan timbalannya, Zulfakar Mohamad (kiri).
KUALA LUMPUR: Pandemik COVID-19 telah mendedahkan jurang yang serius dalam sistem perlindungan sosial yang sememangnya tidak mencukupi, dan kita boleh melihat ramai pekerja yang terdedah kepada risiko dan kekurangan, dan tidak dilindungi pada masa sekarang dan akan lebih ketara apabila bersara kelak.
Ramai yang berhadapan dengan isu mata pencarian berkekalan yang serius manakala ramai lagi yang bergelut dengan masalah kesihatan mental.
Hak untuk akses kepada perlindungan sosial merupakan satu komponen utama hak asasi manusia. Ia adalah penting untuk menjamin kehidupan yang bermaruah dan berkualiti sepanjang masa.
Sehubungan dengan itu, Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM), yang ditubuhkan untuk menyediakan perlindungan menyeluruh dan meliputi semua sektor kehidupan rakyat Malaysia, khususnya golongan pekerja, akan dilancarkan hari ini. Majlis pelancaran berlangsung di NUBE House, Brickfields, Kuala Lumpur.
Majlis pelancaran yang diadakan sempena sambutan Hari Pekerja 2022, akan disempurnakan oleh Syed Shahir Syed Mohamud, mantan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan mantan Ahli Dewan Negara Malaysia.
Syed Shahir kini merupakan Pengerusi Institut Pemberdayaan Pekerja Selangor (IPPS).
Menurut kenyataan media dikeluarkan sempena majlis pelancaran, SPCAAM akan bertindak sebagai pemudah cara dalam membantu orang ramai, termasuk para pekerja, tidak kira jawatan, kedudukan, dan negara asal.
“SPCAAM akan menjadi badan penasihat perlindungan sosial yang berkesan untuk semua yang menetap di Malaysia,” kata kenyataan media itu.
Kenyataan media itu menambah, di Malaysia, meskipun para pekerja disediakan dengan beberapa skim perlindungan sosial, kita perlu proaktif dalam melihat isu ini secara holistik dan memperluaskan skopnya agar segala isu yang wujud pada hari ini dapat diletakkan titik noktah.
“Kehidupan yang kondusif rakyat khususnya pekerja, sama ada ketika masih bekerja atau selepas sudah tidak lagi bekerja, perlu disediakan. Dan, ia perlu bermula sekarang,” tambah kenyataan media itu.
Dalam hal ini, Setiausaha Agung SPCAAM, A Karuna berkata, perlindungan sosial di Malaysia tidak cekap untuk memenuhi keperluan asas rakyat. Kata beliau, ramai yang tersisih sepenuhnya daripada sistem perlindungan sosial, dan mereka tiada sebarang bentuk sokongan dan sangat terdedah.
“Oleh itu, kita boleh berbangga bahawa buat pertama kali dalam sejarah negara, kita mempunyai organisasi yang akan melihat kepentingan rakyat, yang merupakan penyumbang perlindungan sosial dalam badan berkanun atau bukan berkanun,” kata beliau.
Sementara itu, Presiden SPCAAM, J Solomon berkongsi pandangan bahawa kita belum capai tahap yang boleh membanggakan daripada segi penyediaan perlindungan sosial yang mencukupi.
Menurut Solomon, ilham untuk menubuhkan SPCAAM wujud apabila kami melihat masih wujud satu jurang yang besar dari segi perlindungan sosial bagi pekerja-pekerja di negara ini, tidak kira kedudukan, sama ada yang bekerja di peringkat bawahan, pertengahan mahupun atasan.
“Kita perlu membantu melindungi mereka, menyediakan perlindungan yang cukup membina. Kita perlu melakukan sesuatu, ia akan bermula dari sini, dari SPCAAM,” kata beliau.
Kata Solomon, SPCAAM boleh disertai oleh setiap rakyat Malaysia dan warga asing yang tinggal di Malaysia tanpa mengira kedudukan mereka dalam masyarakat kerana setiap orang memerlukan perlindungan sosial dalam apa jua bentuk. “SPCAAM lahir dari pekerja, untuk pekerja, demi pekerja,” kata Solomon lagi.
Kenyataan media itu menambah, buat masa ini SPCAAM terdiri daripada tiga unit: Unit Komunikasi, Sosioekonomi dan Perhubungan Perusahaan.
Borang permohonan untuk menjadi ahli SPCAAM boleh dimuat turun dari laman web www.spcaam.org atau pertanyaan boleh dikemukakan ke alamat e-mel spcaam.hq@gmail.com.