SPCAAM: Susulan MoU, Putrajaya perlu telus dalam isu pekerja Indonesia

Kerajaan Malaysia dan Indonesia menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara membabitkan pembantu rumah Indonesia. – Foto Ihsan BBC Indonesia/Sekretariat Presiden RI

Oleh Callistus Antony D Angelus

[PANDANGAN] Kenyataan Duta Besar Indonesia, Hermono, yang mendakwa Malaysia telah gagal mematuhi Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara membabitkan pembantu rumah Indonesia harus ditangani secara telus oleh kerajaan.

Indonesia sejak itu mengeluarkan perintah pembekuan sementara ke atas semua pekerjanya yang memasuki Malaysia, yang telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan majikan.

Kerajaan harus mendedahkan kepada orang ramai tentang terma-terma MoU kerana ia membabitkan kepentingan awam dan memberi kesan kepada rakyat Malaysia dalam pelbagai cara.

Seharusnya tiada apa yang perlu disembunyikan atau dirahsiakan dalam MoU sedemikian dan orang ramai berhak mengetahui perkara tersebut. Kenyataan sedemikian oleh pegawai awam negara jiran, jika tidak disangkal atau diperjelaskan, adalah sesuatu yang memalukan negara.

Majikan semestinya prihatin kerana mereka telah mengeksploitasi buruh murah dan tahap gaji yang menyedihkan selama beberapa dekad, melalui eksploitasi buruh asing mereka. Sebagai permulaan, situasi buruh asing harus dinilai secara holistik.

Apa yang perlu dipastikan ialah sama ada terdapat kekurangan pekerja atau majikan tidak sanggup membayar gaji peringkat pasaran untuk menarik rakyat Malaysia bekerja.

Kerajaan telah terlalu lama membenarkan para majikan memutarbelitkan kedudukan gaji pasaran melalui penggunaan dan penyalahgunaan buruh asing.

Ini telah memberi kesan kepada pekerja-pekerja Malaysia secara langsung, dan khususnya rakyat kumpulan B40 dan M40.

Perkembangan ini turut melibatkan kesan kepada pekerja-pekerja Indonesia juga. Mereka seolah-olah menanggung beban perbalahan diplomatik antara negara. Piawaian Buruh Antarabangsa harus dipatuhi jika ia melibatkan buruh asing.

Sudah tiba masanya Kerajaan Malaysia melihat isu-isu yang membelenggu pekerja, sama ada tempatan atau asing, dari sudut perikemanusiaan dan tidak mementingkan objektif memaksimumkan keuntungan majikan sahaja

Nota: Callistus Antony D Angelus ialah Penasihat Buruh Antarabangsa, Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM)