KUALA LUMPUR: Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) menggesa Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar bertindak dengan tegas bagi memastikan gaji pekerja dinaikkan demi menjaga hak dan kepentingan mereka.
Penasihat Buruh Antarabangsa SPCAAM, Callistus Antony D’Angelus berkata, situasi semasa hanya boleh dipulihkan jika terdapat peraturan yang sesuai.
“Situasi ini hanya boleh dipulihkan jika terdapat peraturan yang sesuai.
“Kementerian Sumber Manusia harus mula bertindak bukan hanya membuat kenyataan dan merayu kepada komuniti perniagaan.
“Seperti yang pernah dinyatakan oleh pemikir yang hebat, masalah tidak boleh diselesaikan pada tahap di mana ia dicipta,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Kata beliau, kenyataan Sivakumar bahawa gaji perlu dinaikkan untuk menarik tenaga kerja tempatan bagi mengisi kira-kira 800,000 pekerjaan tempatan adalah sesuatu yang boleh dicapai melalui peraturan dan penelitian kerajaan.
Malah menurut beliau, tiada apa yang boleh diharapkan daripada komuniti perniagaan dalam hal ini.
“Ini kerana mereka telah terbiasa dengan dekad-dekad yang dibenarkan dan didorong untuk menekan tahap gaji sehingga persekitaran ekonomi yang tidak masuk akal untuk rakyat Malaysia bekerja dalam pekerjaan sedemikian.
“Pekerja asing dibawa masuk, termasuk ada yang didera dan dinafikan hak asasi manusia, dan pada tahap gaji yang tidak mampu diterima oleh rakyat Malaysia. Dengan cara ini, perniagaan dapat mengurangkan kos dan menyalahgunakan pekerja – semuanya nampaknya sah,” kata beliau.
Tegas beliau, pekerja tidak boleh mengharapkan komuniti perniagaan membetulkan diri mereka sendiri kerana mereka tidak mempunyai sebarang insentif untuk berbuat demikian.
“Kerajaan mesti memimpin untuk memulakan reformasi sistemik dalam bentuk memperkenalkan gaji minimum yang realistik dan bermakna, memastikan hak perwakilan kesatuan sekerja yang sesuai, dan mendakwa majikan yang menyalahgunakan pekerja asing,” kata beliau.
Semalam, Sivakumar berkata, Kementerian Sumber Manusia sedang merangka satu dasar bagi menjamin keselamatan sosial golongan pekerja ekonomi gig membabitkan pekerja e-hailing agar tidak didiskriminasi oleh majikan.
Kata beliau, ia kini di dalam proses penggubalan dasar di peringkat kementerian dan beliau menjangka akan menerima garis panduan berkenaan perkara itu daripada pegawainya dalam dua minggu lagi.
“Kementerian memang sedang merangka satu dasar untuk melihat bagaimana kerajaan boleh membantu supaya golongan ini tidak didiskriminasi oleh majikan mereka, serta memberi mereka perlindungan sosial,” katanya.
Beliau berkata pihak kementerian tidak menolak cadangan penggubalan akta khas melibatkan pekerja e-hailing, bagaimanapun ia akan mengambil masa yang lama untuk direalisasikan.
Katanya pihak kerajaan buat masa ini akan membuat dasar dahulu, dan kemudian mengkaji secara terperinci tentang keperluan penggubalan akta khas berkenaan.
Callistus Antony menambah, mana-mana majikan yang didapati menyalahgunakan pekerja asing, seperti memegang pasport mereka dan menahan mereka di tempat tinggal mereka, harus bertanggungjawab secara jenayah.
“Pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bergerak ke arah yang betul dan ini adalah satu bidang yang kini perlu diberi tumpuan,” kata beliau.
Kata beliau lagi, Sivakumar harus melihat terhadap Kementeriannya sendiri untuk menentukan sama ada mereka mempunyai peranan dalam hal ini, sama ada secara langsung atau tidak.
“Akibat tidak langsung daripada penyalahgunaan situasi pekerja asing ialah rakyat Malaysia telah dinafikan kedua-dua peluang pekerjaan dan hak untuk mencari rezeki yang layak.
“Ekoran situasi itu, lebih ramai rakyat Malaysia akan mencari peluang pekerjaan di luar negara, dan pekerja asing akan terus dibawa masuk untuk dieksploitasi dan didera oleh majikan Malaysia,” kata beliau.