KUALA LUMPUR: Spartan Maritime (M) Sdn Bhd dan Royal HaskoningDHV akan menyediakan perkhidmatan konsultansi kepada Teroka Majubina Sdn Bhd untuk pembinaan Kompleks Limbungan Kapal Hibrid di Tanjung Agas, Pekan, Pahang.
Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani di ibu negara hari ini merupakan sebahagian daripada skop perniagaan Teroka MajuBina yang akan membangunkan Kompleks tersebut.
MoU ditandatangani oleh Naib Pengerusi Teroka Majubina, Datuk Ts Dr Abd Radzak Abd Malek manakala Spartan Maritime pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zulkurnain Ayub.
Royal HaskoningDHV diwakili oleh Leonid Gavrilchik yang merupakan Ketua Pegawai Operasi Asia Pasifik syarikat itu.
Turut hadir menyaksikan Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur, Datuk Sri Dr Irmohizam Ibrahim.
Abd Radzak menyifatkan MoU yang ditandatangani hari ini sebagai satu kemajuan yang penting dalam merealisasi dan menjayakan objektif pembangunan Kompleks Limbungan Kapal Hibrid.
Kata beliau, dengan khidmat nasihat daripada Royal HaskoningDHV yang merupakan di antara firma konsultan marin terulung di dunia, pihaknya yakin projek Kompleks Limbungan Kapal Hibrid akan berjaya, sekali gus mencapai matlamat yang disasarkan.
“Sejak MoU pembinaan Kompleks Limbungan Kapal Hibrid yang ditandatangani empat bulan yang lalu, Teroka MajuBina telah mencapai beberapa fasa kemajuan dan kejayaan. Sehubungan dengan itu, MoU hari ini diyakini akan membantu kami dalam melengkapkan misi besar Teroka MajuBina,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan sempena majlis menandatangani MoU.
Dalam pada itu, Zulkurnain berkata, pihaknya bangga untuk bersama Teroka Majubina dan Royal HaskoningDHV dalam merealisasikan pembinaan Kompleks Limbungan Kapal Hibrid di Tanjung Agas.
“Kami mempunyai kepakaran dan pengalaman yang luas, khususnya dalam kajian rancangan spatial marin menggunakan pendekatan data dan sains yang diperlukan oleh Teroka Majubina dalam membangunkan Kompleks Limbungan Kapal Hibrid di Tanjung Agas, pada masa yang sama mengadaptasi dan penjajaran selari dengan prinsip-prinsip ‘Working With Nature’ yang bersifat inklusif, saksama, dan multikriteria,” kata beliau.
Mengulas gandingan ini, Gavrilchik berkata, pihaknya juga yakin Kompleks Limbungan Kapal Hibrid yang dirancang akan merancakkan ekonomi Malaysia.
“Gandingan tiga pihak Spartan Maritime-Royal HaskoningDHV-Teroka Majubina akan membawa anjakan lebih kukuh dalam membangunkan Komplek Limbungan yang sedang dirancang,” kata beliau.
Malah menurut beliau, pihaknya bersedia untuk berkongsi khidmat nasihat untuk menjayakan projek ini, yang bukan sahaja memajukan Malaysia, malah ia akan membawa manfaat kepada pasaran maritim global.
Teroka Majubina kini dalam proses perancangan pembinaan Kompleks Kapal Hibrid di Tanjung Agas yang dijangka mula beroperasi pada Jun 2025.
Pada 20 Oktober 2023, Teroka Majubina dan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang telah menandatangani MoU untuk membangunkan Kompleks Limbungan Kapal Hibrid di Tanjung Agas.
Di bawah MoU itu, Kompleks itu merangkumi kawasan seluas 1,000 ekar di Tanjung Agas, yang menempatkan enam dry docks yang panjangnya 500 meter, dikelilingi oleh 12 quays. Pembinaan kapal, 12 penyelenggaraan kapal, green ship recycling dan offshore marine engineering dan decommissiong merupakan antara fungsi utama di Kompleks ini.
Nilai keseluruhan projek ini adalah AS$2.5 bilion (sekitar RM12 bilion). Pelaburan dari luar negara dan juga dalam negeri akan menjadi asas kepada projek itu.