Sivakumar: Model gaji progresif dibentang dalam MTEN bulan depan

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, model gaji progresif akan dibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bulan depan, antara lain bertujuan untuk meneliti kewajaran pelaksanaannya.

KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, model gaji progresif akan dibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bulan depan, antara lain bertujuan untuk meneliti kewajaran pelaksanaannya.

Menurut beliau, langkah itu juga bagi membuat ketetapan sama ada untuk mengkaji model gaji itu atau mencari alternatif lain bagi penambahbaikan sistem gaji sedia ada di Malaysia.

Jelas beliau, kerajaan masih belum memuktamadkan sama ada untuk menggunakan model gaji progresif berkenaan.

Pada Rabu lepas, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, kertas dasar yang dibangunkan oleh Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Manusia mengenai Dasar Gaji Progresif akan dibentang kepada MTEN.

Rafizi berkata dasar itu bertujuan memastikan pertumbuhan gaji rakyat lebih sekata serta inklusif dan mendorong ke arah penjanaan pendapatan lebih baik.

Sivakumar mengakui wujud kekangan untuk melaksanakan gaji progresif yang hendak diperkenalkan seiring peningkatan kos sara hidup dan kemahiran.

Tanpa menjelaskan secara lanjut, Sivakumar merujuk Singapura yang hanya melaksanakannya setelah membuat kajian selama lima tahun dan dilaksanakan membabitkan tiga sub sektor sahaja

“Sehubungan itu, kerajaan akan mengkaji secara teliti sebelum melaksanakan model gaji progresif ini untuk rakyat Malaysia,” kata beliau.

Dalam kenyataan dikeluarkan semalam, Sivakumar berkata kerajaan komited untuk membela pekerja supaya mereka menikmati gaji setimpal dengan produktivitinya, kemahiran dan pengalaman.

“Pada masa yang sama, kerajaan juga ingin majikan mendapat produktiviti dan keuntungan.

“Maka, adalah wajar untuk kerajaan melihat kepada sistem gaji selain daripada pelaksanaan gaji minimum,” kata beliau.

Mac lalu, Sivakumar berkata kementeriannya dalam usaha untuk meneliti cadangan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai pelaksanaan model ‘gaji kehidupan wajar’ atau gaji progresif di negara ini.