Setiausaha Agung SPCAAM: Kerajaan perlu beri kesatuan peranan dalam sistem tadbir urus baik

Setiausaha Agung SPCAAM, A. Karuna

KUALA LUMPUR: Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) menggesa agar kesatuan sekerja diberi peranan menyeluruh di bawah konsep sistem tadbir urus tiga pihak dalam pelaksaan dasar-dasar pembangunan kerajaan bagi mengelakkan penyelewengan dan salah laku.

Setiausaha Agungnya, A. Karuna berkata, SPCAAM menyeru wakil kerajaan, pekerja dan majikan di dalam Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) agar mengkaji secara serius tindakan untuk mewujudkan pemulihan berpaksikan manusia daripada impak sosial dan ekonomi yang diakibatkan oleh pandemik Covid-19 secepat yang mungkin.

Karuna berkata, ini adalah perkara yang serius kerana kesemua rancangan kerajaan melibatkan pengurusan dana awam. Perlu ada langkah tadbir urus yang lebih ketat untuk memastikan tidak akan berlaku penyelewengan atau salah laku yang melibatkan dana dan aset awam.

Kata beliau, sesi akhir Persidangan Buruh Antarabangsa (ILO) ke-109 telah dimuktamadkan pada 11 Disember 2021 dengan gesaan agar negara-negara anggota ILO membangunkan strategi baharu bagi menangani ketidaksamaan dan meningkatkan kemahiran serta pembelajaran sepanjang hayat.

“ILO mengakui bahawa pendigitalan, automasi, dan pemacu teknologi yang serupa boleh menjana serta memusnahkan pekerjaan.
“Mengadaptasi teknologi tanpa mengambil kira kesan ke atas pekerjaan, sekuriti pekerjaan dan mata pencarian rakyat adalah resipi kepada krisis pekerjaan, ketidaksamaan yang semakin meluas dan ketidaksamaan sosial,” kata beliau.

Dalam kenyataan dikeluarkam hari ini, kata beliau, ILO menekankan tentang kepentingan kritikal untuk mengenal pasti dan menyampaikan kemahiran masa hadapan, dan penglibatan pihak-pihak berkepentingan.

Ia menambah bahawa pertamanya, “kerajaan mesti menyediakan rangka kerja institusi yang menggalakkan perundingan kolektif mengenai isu pembelajaran sepanjang hayat. Kedua, adalah satu kemestian bagi kesatuan sekerja dan majikan untuk menyertakannya dalam agenda tawar-menawar mereka”, kata beliau.

Karuna seterusnya berkata, pada masa ini, kerajaan mahupun majikan kelihatan tidak berminat untuk terlibat dengan pemimpin kesatuan sekerja mengenai isu-isu utama ini.

Oleh itu, kata beliau, tanggungjawab terletak di pihak kerajaan dalam memastikan bahawa dalam rancangan pembangunan mereka, majikan wajib menyediakan sumber yang diperlukan untuk melatih semula dan meningkatkan kemahiran pekerja supaya mereka kekal relevan dalam pasaran buruh.

“Majikan mesti mengamalkan pendekatan kemanusiaan dan mesti melabur dalam melatih semula pekerja mereka. Ia adalah pelaburan yang akan menghasilkan pulangan pada masa hadapan.

“Sama pentingnya ialah penekanan terhadap pembelajaran sepanjang hayat untuk pekerja, dalam dunia pekerjaan yang berhadapan dengan peralihan berterusan dan perlindungan sosial.

“Pandemik Covid-19 memburukkan lagi ketidaksamaan pendapatan di Malaysia, menjejaskan pekerjaan kumpulan paling lemah dari segi ekonomi yang merupakan kumpulan penduduk terbesar,” kata beliau lagi.

Menurut beliau, ketidakamanan sosial dalam kalangan pekerja dalam bentuk kerja yang tidak terjamin dan ekonomi tidak formal juga mesti ditangani.

Katanya lagi, kemerosotan simpanan dalam KWSP bagi kebanyakan rakyat Malaysia yang tidak mampu untuk bersara dengan kondusif, semata-mata kerana persaraan mereka akan menyebabkan mereka terdedah kepada kemiskinan, iaitu kemiskinan selepas bersara, tidak boleh dipandang remeh.

“Kerajaan Malaysia tidak boleh menganggap KWSP sebagai hab wang tunai dan membenarkan pengeluaran secara berterusan atas nama rangsangan ekonomi.

“Kerajaan Malaysia mesti menyedari bahawa untuk membasmi kemiskinan dan mencapai masa depan yang lebih mampan untuk semua pekerja di Malaysia, ia mesti memastikan bahawa perlindungan sosial adalah keutamaan sosial, ekonomi dan politik,” katanya.

Tambah beliau, ini adalah faktor yang berkait rapat dengan maruah manusia, keadilan sosial dan pembangunan mampan. Menghormati hak buruh, menggalakkan gaji yang adil (gaji hidup) dan keadaan kerja, serta strategi perlindungan sosial yang berkesan tidak boleh dikompromi lagi.

“Di samping itu, terlalu kerap, kerajaan membentangkan rancangan bercita-cita tinggi yang gagal mencapai matlamat yang disasarkan disebabkan oleh pelaksanaan dan pemantauan yang lemah.

“Seperti yang dinyatakan dengan tepat oleh ILO, peranan organisasi pekerja dalam tadbir urus tiga pihak mesti diberi lebih penekanan dalam dasar pembangunan kerajaan dan ia harus diamalkan,” kata beliau sambil menambah, “penekanan ILO terhadap gabungan tindakan dan yang diselaraskan dalam tujuh bidang berada dalam kedudukan terbaik untuk diamalkan.”

Ia terdiri daripada menggalakkan penciptaan pekerjaan; memupuk peluang yang sama; memastikan perlindungan yang mencukupi untuk semua; mempercepatkan peralihan kepada formaliti; memastikan kesaksamaan jantina dan tanpa diskriminasi, menggalakkan kesaksamaan, kepelbagaian dan keterangkuman; merealisasikan perlindungan sosial sejagat dan menggalakkan perdagangan dan pembangunan bagi globalisasi yang adil dan kemakmuran bersama, katanya.