Setiausaha Agung MTUC: Kami sudah jumpa RoS, TDC esok diteruskan

Datuk Halim Mansor (kiri) dan Kamarul Baharin Mansor (kanan)

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) tetap dengan jadual mengadakan Persidangan Perwakilan Tiga Tahunan (TDC), yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata, tarikh untuk mengadakan TDC pada 2 hingga 3 Julai telah dimuktamadkan secara majoriti pada Mesyuarat Majlis Am yang diadakan pada 20 Mac lalu.

“MTUC akan meneruskan persidangan sebagaimana yang diputuskan oleh Mesyuarat Majlis Am kerana sehingga kini tiada apa-apa perintah mahkamah yang menghalang persidangan dilaksanakan,” kata beliau.

Beliau berkata, MTUC telah bertemu Pendaftar Pertubuhan (RoS) untuk mendapatkan nasihat mengenai aduan bekas presiden Abdul Halim Mansor yang mempertikaikan kesahihan TDC.

Kata beliau, RoS telah menyatakan bahawa Majlis Am adalah badan tertinggi bagi membuat keputusan antara dua TDC.

Kamarul berkata notis persidangan telah dikeluarkan secara e-mel kepada semua gabungan pada 6 April.

Katanya, TDC akan dihadiri oleh 115 kesatuan gabungan meliputi 509 perwakilan manakala 12 kesatuan tidak dapat hadir selepas terlepas tarikh akhir untuk menyerahkan borang perwakilan.

Kamarul berkata, pihak yang tidak bersetuju dengan keputusan Mesyuarat Majlis Am akan terus berusaha untuk menghalang persidangan ini sepertimana yang berlaku semasa mesyuarat persidangan yang lepas.

“Untuk rekod, semasa pemilihan (MTUC) yang lepas, terdapat kumpulan yang cuba mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang pemilihan tersebut daripada berlaku. MTUC akan terus menjalankan tanggungjawab dan tindakan adalah selaras dengan perlembagaan bagi memastikan MTUC terus dihormati.”

Workers Times dalam laporan awalnya menyebut, pemimpin sebuah kesatuan gabungan MTUC mahu RoS “menghalang” TDC badan itu, yang bakal menyaksikan pemilihan barisan kepimpinan.

Datuk Halim Mansor, Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Perusahaan Petroleum dan Kimia Semenanjung Malaysia dalam suratnya kepada RoS pada 28 Jun lalu berkata, “saya amat berharap laporan ini mendapat perhatian tuan (Pendaftar Pertubuhan) dan mengambil tindakan yang sewajarnya dan segera untuk menghalang persidangan perwakilan yang akan diadakan pada 2 dan 3 Julai.”

Dalam suratnya kepada RoS, Halim yang juga ahli Majlis Am MTUC menggariskan empat sebab TDC kali ini perlu dihalang daripada diadakan.

Majlis Am MTUC bermesyuarat pada Ahad lalu menjelang TDC esok.

Empat alasan yang dikemukakan terdiri daripada ketiadaan surat kebenaran daripada RoS untuk mempercepatkan TDC, menetapkan tempat dan tarikh persidangan yang tidak diputuskan oleh Majlis Am, bajet kewangan persidangan tidak dibentangkan dan tiada angka untuk perbelanjaan TDC, dan Laporan Majlis Am, Laporan Kewangan Beraudit, Laporan Kewangan Semasa dan Agenda Persidangan tidak dihantar kepada kesatuan gabungan 14 hari sebelum persidangan.

Di bawah perlembagaan MTUC, TDC hanya boleh diadakan pada suku terakhir tahun persidangan iaitu antara bulan Oktober dan Disember.

Difahamkan Halim juga telah memfailkan permohonan injuksi mahkamah untuk menghalang TDC.

Permohonan dijangka akan didengar hari ini.