Sempena sambutan sulung Hari Buruh sebagai menteri, Sivakumar dedah ada majikan enggan iktiraf kesatuan

KUALA LUMPUR: Beberapa pindaan berkaitan proses pengiktirafan kesatuan sekerja akan dibuat demi memberi ruang kepada pekerja memperjuangkan hak mereka dan mendapat keadilan, kata Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar.

Menurut beliau, perkara itu akan diberi perhatian oleh kerajaan memandangkan ada dalam kalangan majikan enggan mengiktiraf kesatuan sekerja di tempat mereka.

“Saya difahamkan terdapat kes-kes majikan enggan mengiktiraf kesatuan sekerja yang diterajui oleh pekerja dan ini merumitkan lagi usaha pekerja dalam memperjuangkan hak mereka,” kata beliau.

Sivakumar mengatakan demikian ketika berucap pada Fiesta Ambang Malam Hari Pekerja anjuran Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) baru-baru ini.

Ia merupakan sambutan julung kali bagi beliau sejak mengetuai Kementerian Sumber Manusia.

Kata Sivakumar, kerajaan juga sedang mengkaji beberapa isu lain berkaitan kebajikan pekerja.

Jelas beliau, ia termasuk gaji kehidupan wajar, pencen pekerja swasta, jaminan pekerjaan, isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta isu perlindungan pekerja asing.

Sivakumar berkata, kerajaan akan berusaha menyelesaikan isu berkenaan sebaik-baiknya, sekali gus memastikan semua pekerja di negara ini mendapat perlindungan dan keistimewaan yang setimpal dengan sumbangan mereka.

“Isu perlindungan pekerja asing juga memerlukan perhatian dan tindakan lebih lanjut. Kita perlu memastikan bahawa semua pekerja asing di negara ini dilindungi undang-undang dan diberikan hak yang sama seperti pekerja tempatan,” katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan akan bekerjasama dengan majikan yang perlu memastikan golongan pekerja berpendidikan rendah diberi peluang untuk meningkatkan taraf pendidikan serta kemahiran kerja melalui latihan dan kursus.

“Langkah itu bagi membantu meningkatkan kemahiran pekerja berkenaan selain memberi mereka peluang mengisi jawatan yang lebih baik serta gaji yang lebih tinggi,” katanya.

Pada masa sama, beliau meminta semua majikan di negara ini agar menghormati hak pekerja dan memastikan mereka dapat bekerja dalam persekitaran yang selamat dan kondusif.

“Kerajaan akan terus memperkenalkan dasar-dasar dan perubahan undang-undang yang memastikan keselamatan, kesejahteraan dan hak-hak pekerja dari semasa ke semasa,” katanya.