Datuk Mohamed Shafie BP Mammal
PANDANGAN: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menyambut baik usaha yang diambil oleh Kerajaan sejak tiga tahun lalu dalam memperkenalkan rangkaian telekomunikasi 5G di seluruh negara.
Kini rangkaian telekomunikasi 5G peringkat kedua pula bakal dimulakan. Ia merupakan langkah yang bersesuaian dengan perkembangan teknologi dan penerimaan di peringkat global.
Namun begitu, UNI-MLC ingin membawa perhatian Kerajaan, terutama Kementerian Digital, entiti yang diwujudkan di bawah rombakan Kabinet pada Disember 2023, mengenai isu kualiti liputan perkhidmatan telekomunikasi selular di Malaysia. Isu ini belum ada solusi dan noktah.
UNI-MLC mendapati di sebalik usaha memperkenalkan liputan perkhidmatan 5G, kualiti perkhidmatan telefon selular atau mudah alih sedia ada semakin merosot dan amat mengecewakan. Pada pandangan UNI-MLC dan para pengguna perkhidmatan telefon mudah alih, kualiti perkhidmatan telefon sepatutnya lebih baik atau sama seperti sebelum sistem liputan 5G diperkenalkan. Malangnya kualiti perkhidmatan telefon mudah alih pada hari ini amat mengecewakan dan tidak selari dengan usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju.
Kualiti panggilan semakin hari semakin merudum. Pengguna sering berhadapan dengan situasi ‘drop calls’ dengan ketara, selain kualiti panggilan juga tidak memuaskan, dan bertentangan dengan janji kualiti produk oleh syarikat-syarikat telekomunikasi di Malaysia.
Sudah tiba masanya bagi Kerajaan mengambil tindakan proaktif dan konstruktif secara menyeluruh bagi menangani isu kritikal ini dengan segera.
UNI-MLC pasti Kementerian Digital mempunyai jawapan kepada keadaan yang mengecewakan jutaan pengguna. Kerajaan tidak boleh hanya mengatakan bahawa kajian sedang dan akan dijalankan untuk mencari penyelesaian.
Bagi pihak jutaan pengguna perkhidmatan telekomunikasi mudah alih, UNIMLC mahu Kementerian Digital dan Kementerian Komunikasi mengambil tindakan bagi mencari solusi segera dalam mengembalikan liputan yang berkualiti dan dinamik.
Isu yang dihadapi sekarang bukan sahaja mengecewakan para pengguna, malah memberi gambaran negatif ke atas negara Malaysia yang ingin kembali gemilang dalam pelbagai bidang terutamanya sektor pelaburan dan pelancongan.
Isu ini sudah berlarutan lebih dari empat tahun dan akhir-akhir ini UNI-MLC telah menerima ratusan aduan daripada ahli-ahli kesatuan gabungan UNI-MLC mengenai isu liputan perkhidmatan ini.
Pengguna mendesak kerajaan agar segera melakukan sesuatu bagi memulihkan keyakinan para pengguna terhadap setiap ringgit yang dibelanjakan oleh pengguna di samping mengharapkan penambahbaikan kualiti perkhidmatan di sektor telekomunikasi dan multimedia khususnya.
Sebagai pasaran global yang menuju ke arah AI dan e-dagang, usaha kerajaan dalam aspek pendigitalan mencerminkan keutamaan dan fokus kerajaan ke arah kepuasan pengguna sekaligus memperkasakan ekonomi negara.
Datuk Mohamed Shafie BP Mammal ialah Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC)