Segera gubal dasar tolak pelaburan asing tindas pekerja Malaysia, UNI-MLC gesa kerajaan

Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia mahu satu dasar sifar toleran kepada penganiayaan pekerja-pekerja di semua peringkat di Malaysia. – Foto ihsan Awani

KUALA LUMPUR: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) mahu satu dasar sifar toleran kepada penganiayaan pekerja-pekerja di semua peringkat, sama ada rakyat Malaysia mahupun pekerja asing, dengan merangka kerangka perundangan yang lebih konstruktif.

Menurut UNI-MLC, langkah itu termasuklah menyemak semula Tatakelakuan Keharmonian Industri.

Presiden UNI-MLC, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, peruntukan berkaitan dengan jaminan atau sekuriti pekerjaan harus dipastikan sepanjang masa kerana ketidakpastian pekerjaan dan ketakutan akibat pemberhentian kerja dan persaraan, dan buruh paksa yang menjadi perhatian sejak kebelakangan ini, mempunyai pengaruh besar terhadap sikap bekerja dan hubungan industri yang baik.

“Malah, jika ia dibiarkan akan terus menjejaskan reputasi dan nama baik Malaysia di kedua-dua peringkat dalam negara dan luar negara,” kata beliau dalam kenyataan media yang dikeluarkan susulan pendirian Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) semalam bahawa pihaknya mengalu-alukan pelabur asing yang beretika dan mematuhi undang-undang serta pelaburan mereka ke Malaysia kerana mereka akan menyediakan peluang pekerjaan yang mempunyai perlindungan yang relevan untuk pekerja.

“NUBE membangkitkan bantahan terhadap kerjasama antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan HSBC kerana tindakan berulang HSBC menjejaskan hak pekerja di Malaysia dan mempunyai beberapa rekod jenayah di peringkat antarabangsa.

“Tingkah laku HSBC yang menjijikkan adalah serupa dengan tindakan menggigit tangan yang memberi makan,” kata Setiausaha Agungnya, J Solomon.

Solomon juga berkata, kerajaan diberi kuasa dan mandat untuk mentadbir negara dan rakyat dengan jaminan bahawa ia hanya akan mengalu-alukan kedatangan pelabur yang akan mengutamakan kepentingan pekerja.

“Kerajaan perlu tegas dalam perkara ini.

“Jika kerajaan bersedia menerima tuntutan dan syarat yang dikenakan oleh negara asing dalam membawa masuk pekerja-pekerja asing ke Malaysia, mengapa tidak kita mengenakan syarat yang sama demi menjaga kepentingan pekerja-pekerja tempatan apabila meluluskan pelaburan asing,” soal beliau.

Kata Solomon, NUBE menggesa kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan semua Kerajaan Negeri supaya mengambil pendirian tegas untuk mengalu-alukan hanya syarikat asing yang benar-benar berorientasikan rakyat menjalankan perniagaan di Malaysia.

“Kedua-dua Kerajaan Negeri dan Pusat perlu mempunyai kemahuan politik dan komitmen dalam membawa masuk pelabur berkualiti dan mereka yang sanggup menjaga kepentingan pekerja tempatan, bukan mengutamakan keuntungan semata-mata.

“Kerajaan Pusat mempunyai tanggungjawab lebih besar untuk hanya mengalu-alukan syarikat tulen yang mengutamakan kebajikan rakyat, selaras dengan slogan Keluarga Malaysia”, di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Jika tidak, Kerajaan Pusat dan Negeri juga akan dilihat mengkhianati kepercayaan dan keyakinan pengundi,” kata beliau.

Mengulas lanjut, Shafie berkata, UNI-MLC menyokong gesaan NUBE supaya Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri-Kerajaan Negeri mengambil pendirian tegas untuk hanya mengalu-alukan syarikat dan pelaburan asing yang benar-benar berorientasikan rakyat menjalankan perniagaan di Malaysia.

Kata beliau, UNI-MLC juga berharap kedua-dua Kerajaan Negeri dan Pusat perlu mempunyai kemahuan politik dan komitmen yang serius dalam membawa masuk pelabur berkualiti dan mereka yang sanggup menjaga kepentingan pekerja tempatan, bukan mengutamakan keuntungan semata-mata.

Tambah beliau, selepas 60 tahun negara merdeka, sudah tiba masa bagi kerajaan mengambil satu pendekatan norma baharu dalam memastikan kepentingan pekerja-pekerja Malaysia menjadi keutamaan dan terpelihara dengan memastikan kepentingan dan kebajikan pekerja dijamin dengan mengutamakan situasi menang-menang.

“Bukannya hanya majikan atau pelabur yang menikmati kelebihan satu pihak iaitu keuntungan,” kata beliau.

Shafie menambah, sebagai badan yang mewakili pekerja, kesatuan sekerja senantiasa berusaha mewujudkan persekitaran perhubungan perusahaan yang harmoni sepanjang masa.

“UNI-MLC melakukan perkara ini kerana percaya bahawa hanya melalui persekitaran yang harmoni kita boleh menikmati suasana yang aman dalam membawa pembangunan dan pertumbuhan tulen dan jitu setiap masa, sekali gus memanfaatkan majikan dan pekerja,” kata beliau.

Malangnya, ujar beliau, tindakan sesetengah majikan seperti HSBC Bank Malaysia Berhad yang membelakangkan semangat perhubungan perusahaan yang harmoni dan peruntukan yang tertera dalam Perjanjian Kolektif (CA) menunjukkan bahawa badan korporat bertaraf global ini tidak menghormati dan tidak menghargai kepentingan dan hak pekerja.

“Pembuangan pekerja ketika pandemik Covid-19 pada tahun lepas merupakan satu contoh yang jelas HSBC Bank Malaysia Berhad tidak menghormati hak, kebajikan dan kepentingan pekerja Malaysia.

HSBC dilaporkan telah melakukan pemberhentian berulang kali dengan berselindung di bawah skim VSS dan MSS sejak 2017, menolak rundingan mengenai nasib pekerja yang tidak mahu menyertai VSS/MSS dan HSBC mengabaikan Tatakelakuan Keharmonian Industri dan menafikan hak asasi pekerja, terutamanya pekerja B40 dan M40 untuk menyara hidup ketika negara dilanda pandemik Covid-19,” kata beliau lagi.

Shafie menegaskan, tindakan tersebut dengan sendiri menunjukkan pengurusan HSBC telah mengamalkan perkara-perkara yang bertentangan dengan tadbir urus sosial yang baik dan mengabaikan Konvensyen dan Piawaian Buruh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

“Malangnya Kerajaan Malaysia membenarkan tindakan HSBC Bank Malaysia itu mengkhianati pekerja Malaysia untuk memenuhi kepentingan satu pihak,” kata beliau.

Beliau juga menyoal “ke manakah perginya sifat kemanusiaan apabila pengurusan HSBC Bank Malaysia sanggup melaksanakan VSS dan MSS ketika pandemik COVID-19 dan menutup banyak cawangan di seluruh negara, di mana kedua-dua tindakan itu membawa kepada pemberhentian pekerja dan menambah beban kepada pekerja dan keluarga mereka.”

“Tidak berguna jika HSBC mendakwa ia sebagai syarikat bertaraf global tetapi mengabaikan hak pekerja dan membuang pekerja begitu sahaja, seperti kata pepatah Melayu, “kacang melupakan kulit” dan “habis manis sepah dibuang”, apabila tidak diperlukan.

“Ke manakah perginya budaya menghormati pekerja yang merupakan aset bagi pertumbuhan syarikat dan negara?” kata beliau.

Kata beliau, itu sebabnya UNI-MLC mahu Malaysia pada sepanjang masa hanya mempunyai syarikat dan majikan, yang mengendalikan perniagaan mereka atas pelbagai insentif disediakan oleh Kerajaan, benar-benar menjaga kepentingan dan kebajikan pekerja, bukannya keuntungan semata-mata.

“Kita perlu mengakui di Malaysia juga ada syarikat yang berjiwa besar yang sanggup dan komited menjaga hak pekerja. Contoh terkini, AEON Malaysia dengan sendiri bersetuju menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 baru-baru, berkuat kuasa 1 Januari 2022, sedangkan Kerajaan Pusat mengumumkan dasar itu hanya akan dilaksanakan penghujung tahun ini,” kata beliau.